si comel buah hatiku

si comel buah hatiku

Monday, March 30, 2009

#rindu ke#

kembali jemari menekan key sementara lintasan idea menerjah ruang minda..proses alam berlalu meninggalkan manusia di alam masing-masing. subuh mula mengambil tempatnya sementara malam beransur melabuh tirainya.

mata kecil ini juga menimbulkan tanya dan soal di hati. tidak tampak tanda mahunya pada baring. mungkin, kawan kecil dihadapan ini menjadi punca , mengalih arah terus tepat ke skrin.. sama seperti sebelum ini, tugasan sebagai mahasiswa masih menemani diri. pendidikan yang sangat global yang kadang turut meresahkan.

wahai telinga yang mendengar, halwa alunan quran memenuhi ruang legar. seketika selepas maghrib tadi, anak-anak kecil datang lagi, kelihatan mereka senang, berusaha mencapai kertas dan pena, terus menerus menyoal dan bertanya, dan sedaya upaya mungkin, ku bantu anak-anak itu.. hakikatnya, hati ini sangat bahagia, sebab apa ya? sebab si anak-anak kecil tadi sebagai pengubat resah rindu keluarga yang jauh dimata..melihat karenah mereka, pasti terimbau kenangan dan memori bersama anak saudara tersayang..

letih menjengah tubuh, pancaindera tak terdaya lagi..buatmu teman dan diriku jua, selamat malam moga Allah memanjangkan umur kita agar dapat kita beriman dan menegakkan islam di muka bumi.

sekadar coretan hati...

Sunday, March 29, 2009

::SuaRa HaTi::

24 julai 2008
Suara hati membisik lagi. Aku tahu, kala ini jiwa dibelenggu rasa sedih yang menggamit. Dan aku tahu, tika ini jiwa bergelora menahan bermacam rasa. Bila perasaan ini tiba, ku sedar hati sangat merindui mereka. Bahagia sungguh mengenang kenangan lalu. Saat ini, serta merta memori silam menerjah kembali bagai menonton layar perak rasanya. Ya, kenangan yang tidak akan dilupakan. Pasti! Pejam celik, kini aku dah menjangkau ke tahun empat di University Malaya. Aku ingat lagi pertama kali menjejak kaki ke menara gading ini. Sungguh tidak ku sangka, rezeki untuk menyambung belajar rupanya di uni perdana ini. Mungkin juga sebagai kebanggaan bagi kedua ibu bapaku dan keluarga di sabah. Catatan hidupku semakin manis rasanya apabila ditemukan kawan-kawan yang sangat memahamiku..entah kenapa tiba-tiba jari-jari ini laju menaip secoret rasa hati ini, mungkin hanya sebagai lakaran rasa hati yang merindui keluarga di kampung.

to be continue...

_RaYuaN nuRaNi_

dengan segala kekuatan yang dipinjamkan Allah kepada ku, aku akan sentiasa memanjatkan kesyukuran ke hadratNya. kekadang hati dan jiwa terasa sempit dan sesak dek pelbagai masalah dan segala benda terperangkap sehingga kadang-kadang tidak terluah dek kata-kata. jiwa terkadang terasa berat dek tidak tertanggung bebanan hidup walau ia hanya secebis cabaran. mujur aku masih ada tempat bergantung, Tuhanku yang Maha Esa, Allah yang Maha Besar.

kekadang hatiku menangis menahan kesakitan walau ia tidak tampak kelihatan. terkadang, tidak terbendung resah meski ianya terlanjur nampak diwajah. namun, itu lah diri ku, manusia biasa, sukar menyembunyikan hakikat luluh jiwa.. hanya satu pengubat hati..sabar.

aku berusaha berdiri kukuh dalam kalangan beribu manusia, tetap teguh walau ianya payah. apa sebenarnya yang terbungkam, terdampar dilubuk hati mu? hanya aku dan Tuhanku, Allah sahaja yang tahu.. biarlah kesedihan itu pergi bersama perginya angin di waktu petang di tepian pantai..tidak tahu ke mana arah tujunya.

tetapi, itu lah aku, hati kekadang merintih, merana malah membengkak menahan serangan halus memanah jiwaku. makna apakah itu? hanya sabar, sifat indah yang dianugerah Allah mampu menyejuk bahang di hati. mungkin soal hati ini, sukar untuk dimengertikan, payah untuk ditafsirkan bahkan mungkin sentuhan hati sahaja mampu memujuk. ya, mungkin juga begitu.

mungkin aku sering lupa, sering lalai pada yang Satu..atau sengaja melupaiNya..tidak! ku pohon keampunan pada Mu ya Allah, Tuhan yang Maha Pengampun. kekosongan hati, keresahan jiwa perlu makanan zikir pada Sang Pencipta. perlukan buah Taubat pada Nya, perlu hadiah Hidayah dan Taufik Nya.

pada hati yang satu, bersabarlah menempuhi ranjau hidup ini..kuatkan semangatmu, tabahlah dalam langkahmu agar terus menuju jalan yang benar jalan yang diredhai Allah, bukan jalan orang-orang yang sesat.

Wednesday, March 25, 2009

Tip sihat

Apakah maksud kesihatan yang sebenarnya?



mountain climbing salah satu aktiviti yang sangat sesuai bagi mengurangkan lemak tepu dalam badan.


mengamalkan diet seimbang dapat mengurangkan jumlah kolestrol dalam badan.


Pertubuhan Kesihatan Sedunia, mentakrifkan "sihat" bermaksud,"Keadaan sempurna fizikal, mental, dan sosial, dan tidak hanya ketika ketiadaan sakit"

Bagi mana-mana organisma, kesihatan ialah satu bentuk homeostasis. Ini merupakan satu imbangan di mana tenaga dan jisim masuk dan keluar (input and output) berada dalam keseimbangan (membolehkan pertumbuhan). Kesihatan juga membawa erti kemampuan untuk meneruskan hidup dengan prospek positif.

Bagi manusia, dengan kemampuan untuk menganalisa dan menjangka, kesihatan adalah lebih daripada itu. Maknanya bukan sahaja semuanya perlu tepat pada masa yang tepat, tetapi pemahaman subjektif penting bagi meneruskan pengimbangan yang sihat. Pemahaman ini datangnya daripada persepsi somatik termasuk sakit dan tidak selesa dan persepsi kognitif. Untuk merasai sihat, seseorang itu perlu merasakan dirinya sihat dan tiada risiko dalaman atau luaran yang boleh menggangu kesihatannya.

Monday, March 23, 2009

"Amalkan hidup yang sihat"




p/s jogging kat bukit everest..

"ilmu tanpa amal, umpama pokok tanpa buah"


Alhamdulillah, syukur pada Allah. kita masih diberikan nikmat iman dan ihsan Allah. Moga kita tergolong dalam kalangan orang yang bersyukur. Syukur juga, mikroteaching bahasa arab dah selesai tengahari tadi.

Alhamdulillah. saya dan jas kena ngajar Nusus, iaitu ilmu tanpa amal umpama pokok tanpa buah. agak mencabar gak mgajar tajuk ni untuk tingkatan empat. sebagai tambahan, bidang nusus ni sesuai diajar melalui kemahiran membaca (al-Fahmu wal isti'ab). kemahiran ni, kenalah diajar sehingga murid-murid faham tentang misal/ hikam ( perumpamaan) dan penggunaannya dalam ibarat mahupun situasi lain.


Merujuk pada perumpamaan "ilmu tanpa amal, ibarat pokok tanpa buah", bermaksud, ilmu, yang tidak diamalkan, maka tidak mendatangkan manfaat. begitu jugalah, apabila, sepohon pokok yang diharapkan berbuah, tetapi, tidak menghasilkan buah. maka, pokok tersebut, tidak memberikan manfaat kepada kita. ada juga pepatah arab lain yang membawa maksud yang sama, iaitu, "ilmu tanpa amal, umpama awan tanpa hujan". yang mana, kita harapkan turun hujan, tapi, hujan tidak turun jua.


Begitulah perumpamaan bagi sesuatu ilmu, tidak bermanfaat andai tidak beramal dengannya. dalam proses p&p tadi, proses untuk memahamkan murid amat payah dan memerlukan usaha yang lebih. apa pun, rebutlah pengalaman sebanyak mungkin, mutiara ilmu dan perkongsian idea selagi kudrat masih ada dan kurniaan nikmat dari-Nya.

Saturday, March 21, 2009

Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi- jqaf


Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi

Bahagian ini bertujuan memberi penjelasan berkenaan dengan Model Perluasan Bahasa Arab Komunikasi untuk Tahun 1, 2 dan 3 di sekolah-sekolah yang melaksanakan Program j-QAF. Panduan ini menerangkan tentang takrif, matlamat, objektif, strategi pelaksanaan, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta penilaian yang akan digunakan dalam pelaksanaan model ini.

Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi bermaksud pelaksanaan mata pelajaran Bahasa Arab Komunikasi diperluaskan kepada semua murid di sekolah-sekolah yang melaksanakan Program j-QAF. Merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 13/2004: Pelaksanaan Program j-QAF di Sekolah Rendah (KP(85)8591/Jld.XVII(13) bertarikh 30 Disember 2004), “status mata pelajaran ini adalah sebagai mata pelajaran pilihan. Walau bagaimanapun murid (Islam) hendaklah memilih Bahasa Arab Komunikasi sekiranya tidak mengambil mata pelajaran Bahasa Cina Komunikasi atau Bahasa Tamil Komunikasi”. Murid bukan Islam diberi pilihan sama ada ingin mengambil Bahasa Arab Komunikasi atau tidak

Matlamat Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab Komunikasi di peringkat rendah ialah menanam minat mempelajari bahasa Arab bagi menguasai kemahiran berbahasa disamping membolehkan murid berkomunikasi dengan mudah dan betul.

Objektif yang hendak dicapai pada akhir pengajaran dan pembelajaran sekolah rendah ialah murid dapat mendengar bunyi huruf, perkataan dan ayat bahasa Arab serta memahaminya. Selain itu, mereka diharap dapat menyebut dengan betul huruf, perkataan dan ayat Bahasa Arab seterusnya dapat bertutur dalam bahasa Arab berdasarkan situasi tertentu dan memahaminya. Selain itu juga, murid diharap dapat membaca perkataan dan ayat bahasa Arab dengan betul dan memahaminya serta mampu menulis perkataan dan ayat bahasa Arab dengan betul serta memahaminya. Seterusnya dapat menulis petikan berdasarkan situasi tertentu menggunakan ayat-ayat mudah dan memahaminya.

Pelaksanaan Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi bermula pada tahun 2005 melibatkan murid tahun 1 di 1,221 buah sekolah terpilih dan akan diperluaskan ke semua sekolah kebangsaan seluruh negara menjelang 2010.

Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan masa sedia ada Bahasa Arab Komunikasi di sekolah kebangsaan iaitu 60 minit seminggu (30 minit x 2 waktu) seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8 Tahun 2002 KP (BS) 8591 Jild XVII (8) bertarikh 1 Oktober 2002 : Penawaran Mata Pelajaran Bahasa Arab Tambahan di Sekolah Kebangsaan (SK). Peruntukan masa ini mestilah berada di dalam jadual waktu rasmi persekolahan.

Model ini dilaksanakan berpandukan kepada sepuluh unit atau topik yang terkandung dalam Pakej Buku Teks Bahasa Arab Komunikasi Tahun 1,2 dan 3 Edisi 2004. Penerbitan pakej buku ini terdiri daripada Buku Teks, Buku Latihan dan Aktiviti Murid serta Buku Panduan Guru yang dibina berdasarkan Sukatan Pelajaran Bahasa Arab Komunikasi dan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Arab Komunikasi Tahun 1, 2 dan 3.

Pelaksanaan setiap unit atau topik mencakupi aktiviti-aktiviti yang terkandung dalam Buku Teks dan Buku Latihan serta aktiviti murid mengikut agihan masa yang telah ditetapkan iaitu bagi aktiviti 1, diperuntukkan dua waktu iaitu selama 60 minit, aktiviti 2 hingga aktiviti 6 serta aktiviti pengukuhan dan pengayaan masing-masing diperuntukkan satu waktu iaitu selama 30 minit.

Guru Bahasa Arab hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan kadar satu unit atau topik untuk satu bulan. Bagi membantu mencapai objektif dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, guru-guru disarankan menggunakan bahan-bahan seperti kad imbasan dan CD dan VCD yang dibekalkan ke sekolah-sekolah.

Berdasarkan teori-teori pemerolehan dan pembelajaran bahasa terdapat pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab Komunikasi boleh dilaksanakan di sekolah. Namun begitu, pendekatan komunikatif dicadangkan untuk dilaksanakan di sekolah kerana sifat dan tujuan bahasa Arab itu sendiri ialah untuk berkomunikasi. Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab Komunikasi dijalankan menggunakan kaedah-kaedah seperti Kaedah Tematik, Kaedah Ajuk-Hafaz, Kaedah Semula Jadi atau Kaedah Terus, Kaedah Latih Tubi dan Kaedah Eklektik.

Penilaian pula adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu hasil pembelajaran dan objektif pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlu dijalankan secara berterusan bermula dari tahun 1 sehingga tahun 3. Guru perlu menjalankan tiga penilaian iaitu penilaian sikap, penilaian lisan dan penilaian tulisan. Walaubagaimanapun penilaian yang perlu dilaporkan kepada JAPIM untuk tahap satu iaitu Tahun 1 hingga Tahun 3,
ialah penilaian lisan sahaja. Penilaian Bahasa Arab Komunikasi di peringkat sekolah dilaksanakan mengikut format Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR).

Prinsip-prinsip bagi Penilaian Kendalian Sekolah Rendah ialah bersifat formatif iaitu mengesan perkembangan individu secara menyeluruh dari aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani, bersistematik dan berterusan, menggunakan pelbagai kaedah seperti pemerhatian, lisan dan penulisan, berasaskan kriteria tertentu dan hendaklah dikendalikan oleh guru, seterusnya membolehkan tindakan susulan diambil.

Dengan terlaksananya model perluasan pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi ini dapat mempertingkatkan penguasaan murid-murid dalam kemahiran berbahasa dan penulisan Bahasa Arab serta mampu mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Selain itu, diharapkan semua guru dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran agar dapat menarik minat murid terutama dalam subjek Bahasa Arab Komunikasi ini seterusnya mencapai aspirasi kerajaan dalam pendidikan.

go jqaf go...