si comel buah hatiku

si comel buah hatiku

Friday, December 17, 2010

Nikmat Mencipta - tonggak 12

Pendahuluan.

Sebelum saya menghurai lebih lanjut mengenai topik kenikmatan dalam mencipta, adalah lebih elok kita melihat lebih jelas dan teliti dasar pembentukan Nikmat Mencipta agar kita lebih memahami nilai, norma dan etika dalam perkhidmatan kita. Terdapat beberapa nilai utama yang perlu diamalkan oleh semua kakitangan antaranya ialah Iman dan takwa, amanah dan maruah, ilmu, ikhlas, daya kreatif dan inovasi, berdisiplin, adil, hormat menghormati, kasih sayang dan banyak lagi yang telah dikenal pasti dan diterima sebagai resolusi Seminar Nilai dan Etika yang berlangsung pada 2 Mac 1992.

Kesemua nilai yang telah dibincang dalam seminar tersebut telah disusun semula dengan menggunakan tajuk-tajuk mengikut susunan yang dikemukakan oleh Y. Bhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Sarji Bin Abdul Hamid didalam ucapan perasmian Seminar Nilai dan Etika pada 2 Mac 1992 di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur. Kesemua nilai dan etika ini terangkum dalam satu panduan asas iaitu Tonggak Dua Belas. Istilah ini membawa maksud asas, dasar, panduan dan pokok kepercayaan yang menjadi asas sesuatu tindakan. \Tonggak Dua Belas mengandungi dua belas nilai utama yang perlu diamalkan oleh semua peringkat kakitangan awam di semua peringkat organisasi. Dua belas nilai yang terkandung dalamnya ialah Menghargai Masa, Ketekunan Membawa Kejayaan, Keseronokan Bekerja, Kemuliaan Kesederhanaan, Ketinggian Peribadi, Kekuatan Sifat Baikhati, Pengaruh Teladan, Kewajipan Menjalankan Tugas, Kebijaksanaan Berkhidmat, Keutamaan Kesabaran, Peningkatan Bakat dan Nikmat Mencipta.

Seterusnya perbincangan khusus berkaitan salah satu isi yang terkandung dalam Tonggak Dua Belas iaitu Nikmat Mencipta iaitu nilai yang ke dua belas. Dalam Nikmat Mencipta (The Joy of Originating), kepuasan ialah tujuan dan puncak segala usaha manusia. Kepuasan yang amat ketara dan mendalam ialah nikmat yang terhasil daripada mencipta sesuatu, lebih-lebih lagi jika perkara atau bahan yang dicipta itu mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara. Kepuasan mencipta peralatan baru atau teknik baru akan menerbitkan kepuasan yang mendalam yakni rasa pencapaian, rasa penaklukan dan rasa bangga kerana ia memanfaatkan orang ramai. Apatah lagi jikalau bahan ciptaan itu dihasilkan secara baik dan indah, bukan sahaja elok dipakai bahkan indah dipandang. Inilah manusia yang sebenarnya seorang seniman. Menurut Sir Wilfred Grenfell, “ Real Joy comes not from ease or riches or from the praise of men, but from doing something worthwhile”.

4 AMALAN POSITIF DAN NEGATIF BAGI NIKMAT MENCIPTA.

Bil.

Amalan positif

Amalan negatif

1

2

3

4

ü Merasa puas kerana sesuatu idea atau cadangan dapat dilaksanakan dan dimanfaatkan.

ü Sentiasa berada dalam cabaran intelektual.

ü Sentiasa mencari idea dan kaedah baru dalam menyelesaikan masalah.

ü Gembira melihat wujudnya idea dan kaedah baru dalam pentadbiran.

o Berpuas hati dengan kedudukan yang sedia ada.

o Takut menemui kegagalan.

o Memandang remeh usaha orang lain.

o Pemikiran tidak dinamik.

CONTOH BAGI AMALAN POSITIF

Merasa puas kerana sesuatu idea atau cadangan dapat dilaksanakan dan dimanfaatkan.

1. Idea mewujudkan pungutan hasil setempat di pejabat pos pada mulanya diragui dan ditentang kerana ianya berbeza daripada cara yang biasa. Apabila dilaksanakan, cara ini didapati sangat baik, memudahkan orang ramai membuat bayaran dan pungutan hasil. Memetik ucapan Menteri pada ketika itu di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam ucapan beliau pada 7 Oktober 2002, sempena Majlis perasmian Pelancaran Program Minggu Bersama Pelanggan Pos Malaysia Berhad, beliau memberi beberapa contoh iaitu “Strategic Alliance dengan Suruhanjaya Pilihanraya, rakyat di seluruh negara kini tidak perlu lagi pergi jauh untuk membuat pendaftaran pengundi dan membuat pertukaran alamat bagi kawasan mengundi. Sebanyak 646 buah Pejabat Pos tersedia di seluruh negara untuk menyelesaikan urusan berkaitan.

2. Kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam pula membolehkan semua peminjam wang Kerajaan dapat membuat bayaran kembali pinjaman tersebut di Pejabat-pejabat Pos. Jalinan usaha tersebut adalah suatu sumbangan yang besar kepada Kerajaan kerana ianya memudahkan komunikasi antara rakyat dengan Kerajaan, dengan Pos Malaysia Berhad berfungsi sebagai pemudahcara yang berkesan”.

3. Konsep lanskap pejabat pada mulanya tidak meyakinkan, tetapi setelah dilaksanakan bersungguh-sungguh dan mengikut perancangan, hasilnya akan menggembirakan semua orang.

Gembira melihat wujudnya idea dan kaedah baru dalam pentadbiran.

1. Idea memainkan piped music di pejabat-pejabat pada mulanya dianggap canggung dan mengganggu, tetapi apabila dilaksanakan dengan betul, boleh menghilangkan rasa jemu bekerja atau jemu menunggu dan menimbulkan suasana gembira. Mengambil contoh Pos Malaysia Berhad sebagai sebuah syarikat sudah tentu akan mempastikan ianya diuruskan dengan baik dan berkesan atau jelasnya memperolehi keuntungan untuk dinikmati bersama oleh pemegang-pemegang sahamnya. Kita sedia maklum Pos Malaysia Berhad telah dan sedang membuat perancangan bagi mempertingkatkan prasarananya untuk memberi lebih kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan. Kalau dulu suasana di dalam Pejabat Pos adalah panas untuk dikunjungi, kini banyak Pejabat-pejabat Pos baru yang dibina dan dipasangkan alat pendingin hawa, selain disediakan kerusi menunggu dan tiket untuk berurusan (QMS). Di Pejabat-pejabat Pos Besar pula dipasang set televisyen untuk tontonan pelanggan sambil menunggu mendapatkan perkhidmatan.

2. Antara idea terbesar yang disumbangkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, FAMA, ialah Pameran MAHA Antarabangsa 2010 yang telah diadakan pada 26 November 2010 sehingga 5 Disember 2010 yang lepas merupakan acara pameran pertanian dwitahunan yang terulung di adakan Malaysia. Idea ini adalah berasaskan kepada kejayaan MAHA 2008 yang merupakan pameran terbesar dan telah tercatat di dalam Malaysia Book of Records. Pameran tahunan ini menjanjikan teknologi terkini dengan demonstrasi yang lebih menarik dan tepat dengan juga aktiviti perdagangan yang akan menarik para pengunjung perdagangan tempatan dan luar negeri. Ia merupakan pameran para pengeluar, petani, nelayan dan penternak terbaik di Malaysia. MAHA Antarabangsa 2010 adalah satu landasan memperkenalkan syarikat pengeluaran produk agro dan makanan yang terbaik di Malaysia. Pada masa kini MAHA adalah pameran pertanian terbesar Malaysia dan berjaya menarik minat 500,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa. Selaras dengan imejnya, MOA telah memajukan 100 hektar Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), sebagai lokasi kekal untuk pameran itu. MAEPS menawarkan kemudahan tempat perjumpaan, insentif, konvensyen dan pameran. Dengan MAEPS sebagai lokasi tetap MAHA, ia diharapkan dapat menyaingi pameran pertanian terkemuka yang lain seperti Pameran Pertanian Diraja di England, yang telah dianjurkan sejak 100 tahun lepas.

3. Jambatan Sultan Ahmad Shah atau Jambatan Temerloh, Pahang. Dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Temerloh bermula pada tahun 1972 selepas kejadian banjir besar pada 1971 dan siap pada tahun 1975 seterusnya dibuka kepada pengguna pada tahun yang sama. Alam sekitar disesuaikan untuk mewujudkan pembinaan baru ini, iaitu Jambatan Temerloh yang hanya menggunakan satu tiang besar sahaja untuk mengelak daripada dirempuh kayu-kayu balak semasa banjir. Jambatan lama yang mempunyai banyak tiang telah runtuh semasa banjir kerana sampah sarap terkumpul di situ.

Sentiasa berada dalam cabaran intelektual

1. Mengatasi masalah pentadbiran dengan formula tertentu ataupun mengeluarkan pekeliling khusus, contohnya, Pekeliling-pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam.

2. Penggunaan ICT dalam kalangan masyarakat Malaysia semakin meningkat. Kesedaran terhadap kepentingan ICT, mewujudkan banyak peluang dan ruang komunikasi yang lebih cepat dan mudah disamping membantu meningkatkan prestasi kerja individu mahupun sesebuah organisasi. Laman sesawang atau WEB, Blog, makmal komputer, kemudahan ‘wireless’ dan pelbagai lagi kemudahan ICT perlu diberi perhatian sewajarnya.

Sentiasa mencari idea dan kaedah baru dalam menyelesaikan masalah.

1. Pengenalan projek SMART adalah singkatan kepada Stormwater Management and Road Tunnel dan ianya telah mula dibuka kepada umum pada 14 mac 2007. Pembinaan projek Smart Tunnel ini telah bermula pada tahun 2003 dengan kos sebanyak RM1.93 billion untuk menyiapkannya. Smart Tunnel ini juga merupakan terowong pertama di dunia dilengkapi dengan laluan kenderaan dan saluran air untuk menangani masalah banjir di Kuala Lumpur dan untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di laluan masuk ke kuala lumpur di sebelah Selatan berdekatan lapangan terbang Sungai Besi.

CONTOH BAGI AMALAN NEGATIF

Memandang remeh usaha orang lain.

1. Sifat memandang remeh usaha orang lain timbul kerana perasaan hasad dengki dan rendah budi pekerti. Dalam perkhidmatan awam, sikap individu yang memimpin sesebuah organisasi yang kurang memberi penghargaan kepada pekerja bawahan malah meremehkan usaha yang dilakukan oleh mereka.

2. Jika tidak sabar mencuba setiap yang baru, tidak akan lahir kejayaan dari pemikiran baru. Terlalu banyak idea yang hendak dilaksanakan sehingga tugasan yang dilakukan tertangguh. Perancangan yang teliti dan rapi diperlukan untuk menyelesaikan masalah atau segala idea yang direncanakan. Oleh kerana sikap yang tidak sabar untuk melihat hasil usaha yang dilakukan, akhirnya, segala yang dilakukan tidak membuahkan kejayaan dan hanya sia-sia.

3. Pengurusan emosi yang tidak efektik mengakibatkan ketidakupayaan menangani sebarang permasalahan yang timbul seterusnya melemahkan sesebuah organisasi dan melambatkan proses kemajuan.

Takut menemui kegagalan.

1. Sifat takut menemui kegagalan akan melemahkan organisasi, menghalang peningkatan produktiviti dan kualiti. Sesebuah organisasi tidak akan berkembang maju dengan memiliki ahli yang bersifat sebegini iaitu sentiasa takut untuk mencuba sesuatu tugasan apatah lagi untuk menerima agenda pembaharuan. Mereka sering menyalahkan orang lain dan tidak berusaha menyiapkan tugasan yang diberikan. Akhirnya, sikap ini akan menghancurkan sesebuah organisasi yang pada dasarnya mampu berdaya saing seiring dengan organisasi lain.

2. Aktiviti pengklonan yang dilakukan adalah baik bagi mendapatkan hasil yang baik terutama dalam perindustrian, pertanian mahupun perubatan, tetapi aktiviti ini amat bercanggah dengan hukum agama dan fitrah manusia apabila wujud percubaan pengklonan manusia. Idea ini sangat melampau dan melanggar ketentuan Tuhan.

3. Berkira dalam pekerjaaan yang memberi kepentingan kepada umum.

Pemikiran tidak dinamik

1. Contoh pemikiran tidak dinamik ialah suka mengetepikan cadangan atau pemikiran baru sebelum diteliti dengan sebaik-baiknya. Pemikiran seperti ini juga salah satu penyumbang kepada kemunduran sesebuah organisasi. Ahli atau pemimpin tidak mahu menerima cadangan atau idea perubahan yang baru malah bertindak mengambil satu cadangan yang disangka terbaik tanpa melalui proses permuafakatan yang betul.

2. Hiburan melampau iaitu idea hedonisme yang tinggi yang mana membentuk pemikiran masyarakat yang mengimpikan untuk menjadi seseorang yang terkenal dalam hiburan seperti penyanyi, penari dan pelawak. Sehingga muncul idea-idea baru yang menyumbang ke arah hiburan semata seperti Program Realitivi TV contohnya Akademi Fantasia, So You Think You Can Dance, Malaysian Idol dan banyak lagi.

3. Suatu masa dahulu, terdapat satu percubaan untu menembak awan yang membawa hujan bagi mengelakkan banjir, tetapi usaha ini bertentangan dengan kehendak alam dan akibatnya boleh menimbulkan kemarau dan ini merupakan pemikiran yang tidak rasional.

Berpuas hati dengan kedudukan yang sedia ada.

1. Seseorang yang sudah selesa dengan kedudukan yang ada, tidak mahu menerima pembaharuan yang dilakukan. Sikap ini seolah-olah menutup pintu perubahan dan kemajuan diri mahupun organisasi.

2. Workholic atau terlalu fanatik dengan pekerjaan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan agama. Sikap ini memberi impak yang sangat besar dalam pembentukan institusi kekeluargaan.

3. Fiqh Aulawiyyat, perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud mengeutamakan perkara yang utama yang membawa kebaikan kepada umum. Justeru, sangat memberi kesan apabila seseorang yang merasakan perkara yang kurang penting dianggap sangat penting dan mengabaikan perkara yang sangat penting dan utama yang membawa kemaslahatn manusia.

Penutup

Penerapan nilai etika dan pendedahan amalan positif yang mesti diamalkan oleh setiap ahli yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam sangat wajar diketengahkan. Begitu juga, pendedahan khusus mengenai amalan negatif yang mesti dielakkan oleh semua.

Pembelajaran sepanjang hayat oleh semua ahli, mestilah difahami dan mengambil langkah melengkapkan diri dengan ilmu semasa dan menjadi panduan hidup. Sentiasa melapangkan dada dan berfikiran terbuka terhadap sesuatu dan merubah sikap ke arah yang lebih baik dan meyakinkan.

Kenikmatan dalam mencipta merupakan kenikmatan dalam kehidupan yang membawa kepada sebuah tamadun manusia yang tinggi.