si comel buah hatiku

si comel buah hatiku

Wednesday, April 29, 2009

impianku bahagia

aku menjengah ke luar beranda rumah, terimbau kenangan masa mula-mula menjejak kaki ke rumah ni kira-kira dua tahun lepas..terasa baru je masa tu berlaku.. ku lihat pula ruang dalam rumah ni..tak lama lagi aku nak tinggalkan rumah ni..ruang tengah rumah yang banyak menyimpan memori bersama sahabat seperjuanganku..satu sudut umpama bilik luasku walaupun aku mempunyai bilik yang ku kongsi bersama teman-temanku, namun ruang tamu yang luas ni juga lah jadi tempat lenaku, walau sejuk menggamit jasad, tak ku hirau. dah banyak kali teman-teman menasihatiku agar tidur beralaskan tilam, tapi ku biar ia berlalu. sebenarnya banyak lagi kenangan dalam rumah ni, tapi hari esok bakal melakar sejarah, aku dan seorang temanku akan meninggalkan rumah ini..

hati digamit kesedihan dek kerana perpisahan yang bakal kunjung. tapi aku semacam belum bersedia untuk itu..Oh Tuhanku, tabahkanlah hati hambamu ini. moga dengan perpisahan ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah yang telah terbina sekian lama..ameen. setiap pertemuan pasti ada perpisahan, begitulah adatnya dan lumrah manusia.

ku lontar pandanganku ke luar semula, namun hati teringat pada keluarga nun jauh diseberang laut sana. kira aku ni kat oversea la. wahai ibu, wahai ayah, sekian lama menanti anakmu ini, akan ku bawa segulung ijazah sebagai hadiah buatmu, sebagai membalas jasa dan pengorbananmu, walau ku tahu, tidak terbalas budimu padaku. dua bulan lagi, aku akan kembali ke tanah kelahiranku. yang pasti, kegembiraan sedang menanti disana. sekian lama juga keluarga ternanti-nanti kepulanganku. Aku sayang kalian semua.

esok yang bakal menjelma. Andai esok masih ada untuk ku. kami akan berangkat ke kelantan untuk praktikum, berdebar dihati mengingatkan persedian untuk mengajar nanti. apa pun, aku kena teruskan juga. aku sedar tugas mengajar dan mendidik bukanlah perkara mudah seperti sangkaan masyarakat kita, bukan hanya untu menunggu gaji pada setiap bulan, tapi bagiku, mendidik anak bangsa ini sebagai tanggungjawab dan amanah yang sangat besar dan mesti dilaksanakan bersungguh-sungguh.

aku menghela nafas sedalamnya. bukan nak mengeluh, tapi hanya memberi keselesaan pada ruang pernafasanku. baru sekejap tadi temanku jes selesai mengemas barang-barangnya. kini giliranku pula. teman yang lain sibuk dengan hal masing-masing. pada teman-teman, aku sayang kalian, maafkan aku andai banyak salah dan silap pada semua.

Buat ketua rumah ni, Ida, thanks ya coz sudi menjadi pemimpin dalam rumah ni, bagai ibu kami la, syukran jazilan coz banyak bagi pinjam motor, jasamu tak ku lupakan. sahabat baik ku Jas, moga persahabatan kita akan berkekalan sampai akhir hayat kita, ku mohon sejuta kemaafan atas kesalahan dan kesilapan padamu.. kaulah sahabat sejatiku..buat sahabatku Yan pula, terima kasih coz banyak bersabar dengan karenahku yang sekejap sejuk, dingin, panas dan luruh..paham juga kan..thanks for being my friends. tak lupa buat sahabat serumah yang lain, Shila, Mizah, Dayah, Farah, Ismah, Wan, Nor, Gita dan Pipun, maaf ya atas segala salah silapku..semoga ukhuwah yang terbina ini berkekalan.

kini aku dah selesai mengemas barang-barangku. beberapa kotak buku, akan ku pos ke sabah. barang yang lain akan ku bawa ke kelantan nanti. selepas ini, bermulalah kisah hidupku yang baru. aku akan berganjak ke alam pekerjaan dan itulah yang ku tunggu selama ini. akan ku tunaikan tanggungjawabku pada kedua orang tua ku.. Moga Allah memelihara mereka sebagai mana mereka memeliharaku sejak kecil. Ameen..

"cik siti!" jantungku berdegup kencang. entah siapa pula yang sangat bersopan menyapaku..bahuku terasa sakit..kemudian aku menoleh ke belakang, oh.. minah ni rupanya....

#to be continue#

Monday, April 27, 2009

Salam kerinduan buat sahabat, tahniah sebab tak lama lagi nak Praktikum, do the best dan kiat menjadi orang yang bermanfaat kepada masyarakat..SEMOGA SUCCESS SELALU!

Gemuruh

Bila bertalu rentak dikalbu
Hasrat tersirat semakin kuburu
Bila bergema laungan gempita
Harapan bernyala nadiku berganda

Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin keangkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Ungkapan ini bukan sekadar bermimpi
Segalanya pasti kan terbukti nanti

Teori Interaksionisme

Interaksionisme

Setiap teori yang dikemukakan ada pra dan kontranya, terdapat kelebihan dan kelemahannya, begitu juga teori interaksionisme dalam dunia sosial ini.

Kelebihan
1. Merupakan interaksi sosial harian.
Manusia saling berinteraksi didalam suasana dan situasi harian dan memanfaatkan hubungan sosial mereka.

2. Individu berada dalam kelompok kecil dan bagaimana ia bertindak.
Individu berinteraksi dengan individu yang lain untuk mencapai motif dan sesuatu tujuan atau matlamat.

3. Banyak menggunakan simbol seperti warna, lampu, isyarat, gerak geri, lambang dan sebagainya dalam proses mencipta hubungan sosial.

4. Komunikasi dan cara hidup manusia mempunyai simboliknya yang tersendiri yang sangat pentin dan saling difahami oleh setiap individu sosial.


Kelemahan
1. Teori ini tidak melihat kehidupan sosial secara menyeluruh.

Ia hanya melihat pada satu aspek sahaja iaitu aspek interaksi sesama individu masyarakat dan interaksi individu dengan kumpulan yang terlibat dalam sesuatu sistem. Teori ini tidak melihat kepada aspek lain seperti masalah, konflik, fungsi dan peranan sosial dalam kehidupan.

Walaubagaimana pun, teori interaksionisme ini hanyalah salah satu daripada perspektif tentang pemahaman dan pemikiran tentang dunia sosial. Perbezaan pemahaman tentang dunia sosial ini menunjukkan hubungan antara manusia dengan masyarakat adalah tidak terbatas. Oleh itu, sebarang pendekatan sosiologi cuma boleh memberikan sebahagian huraian tentang manusia dan masyarakat. Tiada satu perspektif dan teori yang memberi gambaran yang tepat dalam dunia sosial.

Saturday, April 18, 2009

Laskar Pelangi






Sebuah Movie yang terbaik dan perlu ditonton oleh semua. movie Indonesia yang mengisahkan kesungguhan 2 orang guru yang telah berusaha membuka sekolah baru untuk anak-anak kampung mereka. Kesedaran mendapatkan pendidikan itu telah disahut oleh 9 orang anak kecil yang aktif dan cergas yang datang dari pelbagai latarbelakang. 8 lelaki dan seorang perempuan, tidak cukup untuk membuka sebuah sekolah baru yang mana syarat untuk itu ialah sekurang-kurangnya 10 orang murid. Harapan semakin berbunga kerana pada saat akhir, muncul seorang kanak-kanak istimewa mengisi kekosongan itu..

Movie alam kanak-kanak yang penuh realiti turut menghidangkan kisah suka duka anak-anak nelayan bernama lintang yang bijak dan seorang murid 'gifted' yang cerdas otak terutama dalam bidang matematik. seorang kanak-kanak yang berwawasan dan bercita-cita tinggi yang ingin mengejar impiannya namun terhalang oelh tanggungjawab menjaga dan melindungi adik-adiknya setelah pemergiaan ayahnya ke pangkuan Ilahi.

Buat semua, selamat menonton movie ini kerana ia penuh berisi dan berinformasi disamping menjadi motivasi kepada kita...

Hak Kebebasan Bersuara

Isu Perak dan Isu Palestin

Hak Asasi Manusia dalam bidang sivil dan politik adalah merangkumi hak kebebasan bercakap, kebebasan beragama, kebebasan berkumpul dan menubuhkan persatuan, kebebasan daripada penderaan dan kesaksamaan di bawah undang-undang. Ini semua dilakukan demi untuk menggalakkan rasa hormat terhadap hak-hak asasi manusia yang dimiliki oleh setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Namun akhir-akhir ini, hak asasi manusia seperti yang telah diperjuangkan oleh kebanyakan manusia dan Negara di dunia telah tercemar dengan kerakusan sesetengah pihak yang langsung tidak menghormati hak yang telah ditubuhkan ini. Pelanggaran ini boleh dilihat kepada beberapa contoh yang berlaku di dalam Negara kita sendiri dan juga di peringkat global secara umumnya. Maka untuk membincangkan contoh pelanggaran yang berlaku terhadap sistem Hak Asasi Manusia dalam bidang sivil dan politik ini, saya akan fokuskan kepada dua isu utama yang menjadi perhatian ramai masyarakat dunia ketika ini. Isu yang akan disentuh ini telah mewakili isu nasional dan antarabangsa sendiri.

Di Malaysia, penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah mendapat kritikan dan tentangan yang hebat daripada rakyat dan kebanyakan ahli politik serta ahli akademik itu sendiri. Pelbagai pihak termasuk dalam dan luar negara mengkritik kerajaan Malaysia kerana menyekat hak asasi melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), OSA, dan lain-lain. Pengunaan akta ini dapat dilihat terhadap pemimpin politik dan layanan buruk terhadap pendatang asing. Inilah isu yang harus menjadi perhatian utama dalam mempersoalkan rekod hak asasi manusia di Malaysia.
Contoh lain yang ketara dapat dilihat ialah semasa kempen pilihanraya yang berlangsung setiap empat tahun sekali di Negara kita. Sekatan terhadap parti politik yang mahu mengadakan ceramah umum adalah sesuatu yang melanggar hak asasi manusia yang digariskan sebelum ini. Dalam hal ini, Suhakam mendakwa larangan ceramah umum dianggap mencabuli hak asasi manusia kerana tidak ada peruntukan undang-undang yang boleh menghalang seseorang itu daripada mengadakan ceramah politik.

Suhakam juga meminta polis menjelaskan mengenai larangan terhadap ceramah umum kerana berpendapat larangan secara umum untuk berhimpun adalah mencabuli hak asasi manusia. Tiada peruntukan undang-undang bagi larangan dikenakan ke atas ceramah politik. Hak untuk berhimpun secara aman merupakan hak asasi manusia bersifat asas yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, Suhakam tidak merestui keganasan dalam semua bentuk tetapi berhimpun secara aman boleh diadakan.

Memburukkan lagi keadaan, rekod Hak Asasi Manusia Malaysia sudah dipertikaikan di peringkat Badan Antarabangsa Hak Asasi Manusia iaitu di peringkat Human Rights Watch (HRW) dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sebagai contoh, Human Rights Watch (HRW) berkata proses semakan di kalangan anggota PBB harus mendesak Malaysia sepatutnya bertanggungjawab atas semua bentuk pelanggaran tersebut, iaitu termasuklah pada pelarian, pendatang haram dan penahanan tanpa bicara (ISA). Timbalan Pengarah HRW, Elaine Pearson juga mempunyai pendapat yang sama iaitu beliau mengatakan bahawa, Negara-negara anggota PBB patut mencabar Malaysia untuk memansuhkan ISA samaada mendesaknya, mendakwa atau membebaskan semua tahanan.

Menurutnya lagi, pengunaan akta kontroversi itu yang antaranya terhadap penulis blog Raja Petra Kamaruddin, pemimpin parti DAP Teresa Kok dan lima pemimpin Barisan Bertindak Hak Hindu (HINDRAF) atas nama keamanan, keselamatan dan kestabilan adalah menyalahi pelbagai piawaian hak asasi dunia. Maka hari ini, Malaysia buat pertama kali telah dihadapkan ke panel antarabangsa di Geneva untuk semakan rekod pelanggaran hak asasi manusia. Ia merupakan amalan setiap empat tahun bagi semua Negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Semakan itu telah dibuat di peringkat Majlisa Hak Asasi Manusia PBB.

Mengulas isu pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku di peringkat dunia pula, saya merujuk kepada isu kekejaman rejim Israel terhadap rakyat dan Negara Palastin. Ketidakamanan negara Palastin akibat serangan bertali arus rejim Israel itu mengakibatkan kematian meningkat saban hari yang melibatkan kanak-kanak, orang tua dan para wanita yang tidak bermaya. Gambaran yang menyayat hati ini tidak akan lenyap kerana konflik Palestin-Israel telah berlarutan lebih lima dekad dan tidak nampak jalan penyelesaiannya.

Jelas sudah bahawa Israel akan berkeras sehingga seluruh Palestin dikuasai di bawah telunjuk Israel. Lebih parah lagi apabila Palestin tiada sokongan yang benar-benar boleh membela Palestin. Negara-negara Arab yang utama dan OIC berdiam diri, hanya melihat segalanya. Mereka seolah-olah bisu, pekak dan buta seperti kenyataan Dr Syed Ali Tawfik al-Attas, Pengarah IKIM. Tidak perlulah mempertikaikan sangat soal Presiden Obama yang juga membisu dan tidak mendengar jeritan rakyat Palestin yang terseksa dan teraniaya kerana bangsa Arab dan sebahagian umat Islam sendiri juga bersikap seperti Presiden Obama dalam isu pengeboman Israel ke atas Gaza. Apa yang sedang dan akan berterusan berlaku adalah usaha yang tiada henti Israel untuk menguasai seluruh kawasan yang dahulunya milik mutlak rakyat Palestin.

Dengan isu yang berlaku ini, seluruh dunia melihat apakah yang mampu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara Islam (OIC) lakukan demi menamatkan konflik yang telah berzaman terus menerus berlaku di bumi orang Islam ini. OIC sendiri umpamanya dilihat hanya beretorik semata-mata. Sejak penubuhannya pada tahun 1969, persidangan OIC telah menghasilkan lebih daripada 3200 resolusi iaitu yang merangkumi plan boikot barangan Israel sehinggalah rancangan untuk meningkatkan hubungan ekonomi, sosial dalam kalangan Negara-negara ahli. Tetapi itu semua tidak lebih daripada hanya bermegah dengan rancangan pelan perubahan yang dilakonkan di atas kertas sahaja.

Sepatutnya, tindakan kejam Israel ini harus dikecam dan dikutuk keras oleh PBB dan OIC serta badan-badan keamanan dunia. Namun yang terjadi kini lain pula ceritanya. Kuasa-kuasa besar dunia seperti tidak tahu menahu tentang tragedi pencabulan hak asasi manusia yang berlaku ini. Amerika umpamanya cukup maklum bahawa tindakan Israel ini adalah satu bentuk keganasan yang berlalu dalam sejarah peradaban dunia. Namun mengambil langkah tidak mempedulikan bahkan menyalahkan pula pembela Negara palastin atas alasan sebagai punca kepada keganasan oleh rejim Israel ini. Ini menampakkan bahawa, Hak Asasi Manusia hanya untuk Amerika dan sekutunya dan bukan untuk umat Islam dan rakyat Palestin.

Friday, April 17, 2009

SAYANG IBU SAYANG AYAH



Buatmu ibu dan ayah, moga Allah merahmatimu... ku doakan ibu dan ayah bahagia dunia dan akhirat...ameen.

KONFLIK DARFUR

Hak Kepada Keselamatan Sosial ( Konflik Darfur )

Perbincangan tentang Konflik Darfur ini menyentuh perkara 22 yang termaktub dalam hak asasi manusia iaitu ‘setiap orang, sebagai anggota masyarakat, adalah berhak kepada keselamatan sosial dan berhak menjadikan suatu kenyataan, melalui usaha Negara dan kerjasama antarabangsa dan menurut organisasi dan sumber-sumber dalam Negara masing-masing, hak-hak ekonomi, sosial dan kebudayaan yang termesti bagi kemuliaanya dan perkembangan bebas keperibadiannya. Ia juga menyentuh hak ekonomi, sosial dan kebudayaan dalam artikel 25 iaitu hak untuk suatu taraf hidup yang memadai bagi kesihatan dan kebajikan diri dan keluarganya, termasuklah makanan, pakaian, perumahan dan pengawasan perubatan.

Sejarahnya, Darfur pada asalnya mempunyai konflik lama puluhan tahun dahulu iaitu konflik diantara rakyat sesama Islam berlaianan etnik iaitu Arab dan Afrika berkaitan dengan tanah, padang gembalaan dan sumber air. Walaupun begitu, masalah ini tidak terlalu besar kerana ia dapat diselesaikan setelah ketua puak masing-masing berunding. Ia metuncing dengan adanya dakwaan daripada kumpulan penentang iaitu Barisan Pembebasan Darfur yang mendakwa wilayah Darfur disisihkan daripada pembangunan. Mereka ini memanipulasi rakyat tempatan untuk memberontak menentang kerajaan Sudan. Apa yang menyebabkan keadaan tidak terkawal dan konflik semakin tegang apabila ada pihak luar campur tangan. Dengan itu, perbalahan yang puluhan tahun dulunya boleh diselesaikan dengan berunding, kini tidak lagi.

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan tercetusnya konflik iaitu bencana alam. Masalah ini berlaku sesama mereka iaitu perbalahan diantara penternak dan petani. Mereka berebut kawasan laluan perjalanan binatang dan sumber asli wilayah Darfur dimana sesama mereka mendakwa wilayah tersebut adalah milik mereka. Selain itu, ia telah menjadi satu isu politik apabila media Barat campur tangan kerana mereka mengetahui wilayah Darfur ini kaya dengan sumber minyak dan sumber asli seperti uranium, emas dan gas asli.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila tragedi 11 September 2001 yang mencetuskan Islamphobia. Ini adalah disebabkan oleh Darfur yang merupakan pusat kegiatan Islam dimana majoriti daripada rakyat Islam gigih melaksanakan sistem Islam secara menyeluruh. Pemerintahan Pro Islam di Sudan inilah yang menyebabkan Sudan menjadi musuh teratas Amerika Syarikat.

Kemuncak konflik ini adalah pada tahun 2003 apabila dua kumpulan bersenjata iaitu Tentera Pembebasan Sudan dan Pergerakan Keadilan mula berperang dan menyerang kawasan pekan, pejabat kerajaan dan orang awam yang menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal dan mencetuskan pembunuhan dan pelarian ke negara jiran.
Terdapat beberapa jalan penyelesaian yang dilakukan termasuklah mengadakan Perjanjian Damai Darfur yang ditandatangani pada Mei 2005 di Abuja, Nigeria oleh kerajaan Sudan dan puak-puak yang bertelingkah supaya berdamai.

Selain itu, mewujudkan laluan bintang ternakan dimana laluan sejauh beratus kilometer telah dibuat dan berpuluh perigi disediakan sepanjang laluan tersebut. Begitu juga, antara pihak yang turut membantu menyelesaikan konflik Darfur ini ialah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Kesatuan Afrika dan Bank Pembangunan Islam di Jeddah. Dalam pembangunan semula Darfur semua pihak perlu menghulurkan bantuan. Infrastruktur seperti sekolah, bekalan air, hospital, tempat tinggal dan jaminan keselamatan perlulah dilaksanakan supaya pelarian kembali pulang ke kampung halaman masing-masing.

Krisis Air Bersih

Hak Untuk Mengakses Keperluan Hidup ( Krisis Air Bersih )

Air adalah kehidupan. Tidak ada satu negara pun yang mampu mencapai kestabilan ekonomi dan sosial tanpa ada jaminan bekalan air bersih dan air tawar. Pada hari ini, semakin banyak negara yang mula menyedari air mempunyai kepentingan yang lebih berbanding minyak. Penganalisis meramalkan air mungkin menggantikan minyak sebagai punca ketegangan politik dunia pada abad 21. Menurut PBB seseorang memerlukan sekurang-kurangnya 50 liter sehari untuk keperluan minuman, mencuci dan memasak. Menjelang tahun 2025, permintaan untuk air bersih dijangka meningkat 56% lebih daripada jumlah air masa kini.

Kekurangan akses bekalan air bersih terutama bagi penduduk di negara miskin antara yang paling teruk dibelenggu masalah bekalan air bersih. Antaranya, Zimbabwe, Sudan, Ghana, dan Cuba. Ini menyebabkan timbulnya masalah kesihatan kepada penduduk kerana terpaksa menggunakan air tercemar untuk tujuan sanitasi dan minuman. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sebanyak 3900 kanak-kanak mati setiap hari di negara miskin disebabkan penyakit bawaan air.

Laporan PBB pada tahun 2003 menyatakan sebanyak 12 000 meter padu air telah di cemari bersamaan dengan jumlah isipadu 10 sungai terbesar dunia pada masa kini. Di jangkakan, dunia akan kehilangan sebanyak 18 000 meter padu sumber air bersih menjelang tahun 2050 jika keadaan ini berterusan. Pencemaran air di negara miskin banyak disebabkan ketiadaan sistem sanitasi yang sempurna. Bagi negara membangun pula pencemaran air berlaku disebabkan aktiviti pertanian, kumbahan, perindustrian dan juga projek pembinaan infrastruktur. Bagi negara maju pula disebabkan oleh aktiviti perindustrian yang menghasilkan air sisa buangan.

Di seluruh dunia terdapat kira-kira 215 batang sungai yang dikongsi bersama dua atau lebih negara. Konflik banyak berlaku disebabkan ketidaksefahaman dalam pengagihan sumber air, penggunaan berlebihan sumber air dan projek pengalihan aliran air sungai yang sekaligus menimbulkan kemarahan antara negara yang terlibat. Antara negara yang berkongsi sumber air ialah, Israel, Jordan dan Palestin yang berebut hak ke atas Sungai Jordan. Turki dan Syria pula berkongsi sungai Euphrates. Amerika Syarikat dan Kanada dalam isu penguasaan ke atas Lembangan Great Lakes.

Terdapat beberapa contoh negara yang mengalami krisis air yang meruncing antaranya termasuklah Indonesia iaitu Jawa Barat, Jakarta, Jawa Tengah, dan Jawa Timur. Begitu juga di Singapura, negara ini terpaksa membeli sumber air bersih dari Malaysia. Manakala di Negara Afrika berlaku perebutan hak sungai Nil sebagai sumber air negara. Kembali ke negara Malaysia pula, antara tempat-tempat yang mengalami krisis air antaranya Melaka, Lembah Klang, Kelantan dan Sabah.

Bagi menghadapi masalah krisis air bersih ini, terdapat beberapa cadangan dan langkah yang boleh diguna pakai oleh semua lapisan masyarakat dalam usaha penjimatan dan berpada-pada iaitu penggunaan air bersih yang lestari. Apabila kita hendak menggosok gigi, sebaiknya gunakan segelas air sahaja. Begitu juga apabila membuang air kecil bolehlah menggunakan single flush dan dual flush apabila membuang air besar. Selain itu, seeloknya gunakan kembali air hujan atau air wudhuk untuk menyiram tanaman atau jalanan. Seterusnya jangan mandi terlalu lama, menggunakan gayung untuk mencuci kereta dan sentiasa cek paip air, sekiranya terdapat sebarang kebocoran hendaklah segera diperbaiki.

PERANAN PENDIDIKAN HAK ASASI MANUSIA

Peranan Pendidikan Hak Asasi Manusia

Dalam menangani masalah pencabulan terhadap hak asasi manusia, peranan pendidikan terhadap hak asasi manusia diperlukan bagi menjayakan usaha murni ini. Pendidikan hak asasi manusia boleh didefinisikan sebagai semua pembelajaran yang membangunkan pengetahuan, kemahiran dan nilai hak asasi manusia. Ia adalah bermaksud lebih daripada memberi maklumat tentang hak dan saluran yang digunakan. Ianya haruslah bertujuan mencipta hubungan yang kuat pada prinsip dan nilai seperti menghormati maruah manusia dan hak orang lain dan mengembangkan kebolehan manusia untuk mempertahankan hak mereka dan memerangi sikap tidak ambil peduli. Antara tujuan pendidikan hak asasi diperkenalkan adalah untuk memberi pengetahuan tentang hak-hak asasi manusia serta memupuk kesedaran di kalangan manusia bagi mewujudkan perubahan tingkah laku dalam tempoh yang panjang dan juga sebagai persediaan untuk menghadapi dunia nyata.

Pendidikan hak asasi manusia boleh diterapkan secara formal dan juga tidak formal. Pendidikan formal meliputi institusi pendidikan dan agensi antarabangsa. Manakala pendidikan tidak formal meliputi badan kerajaan, badan bukan kerajaan, ibu bapa, masyarakat dan media massa.

Dalam institusi pendidikan, ramai pihak yang berperanan penting dalam menerapkan nilai-nilai hak asasi manusia kepada pelajar. Antaranya ialah peranan sekolah atau institusi pengajian tinggi itu sendiri. Antara usaha yang telah diambil oleh institusi pengajian tinggi di Amerika seperti Harvard University, Columbia University, Yale University, Denver University, Minnesota University, State University of New York dan England seperti University of Essex ialah menubuhkan pusat penyelidikan hak asasi manusia. Ia berfungsi sebagai pusat untuk mengkaji tentang hak asasi manusia yang telah diceroboh seterusnya mencari langkah-langkah bagi memelihara hak tersebut daripada dilanggar oleh mana-mana pihak.

Selain itu, program seperti ceramah, diskusi ilmiah, forum dan seminar sesuai diadakan. Untuk memberi maklumat yang lebih mendalam kepada pelajar tentang isu keganasan Israil terhadap rakyat Gaza, pihak Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya telah mengadakan ceramah berkaitan isu berkenaan yang disampaikan oleh pakar sejarah. Selain itu juga, sistem mentor perlu diwujudkan supaya pelajar dapat membincangkan tentang masalah dirinya serta berkongsi maklumat tentang sesuatu isu. Sistem ini telah diwujudkan di universiti di Amerika dan di Malaysia seperti Universiti Malaya.
Selain itu juga, peranan kurikulum amat penting dalam menerapkan nilai hak asasi manusia kepada pelajar. Antara usaha yang telah dimainkan oleh UNESCO dengan kerjasama HURIGHT OSAKA telah menyediakan Rencana Pelajaran Hak Asasi Manusia untuk Sekolah-sekolah Asia Tenggara yang meliputi enam buah negara seperti Kamboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam. Isi dan metodologi rencana ini disediakan mengikut kesesuaian dan keperluan pelajar di setiap negara. Rencana ini disediakan untuk memberi bantuan kepada guru dalan memajukan pengajaran hak asasi manusia di sekolah. Pendidikan hak asasi manusia diterapkan ke dalam subjek-subjek tertentu memandangkan ianya tidak dijadikan sebagai subjek khusus. Sebagai contoh, di Malaysia ia diserapkan ke dalam subjek Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Sejarah, Tamadun Asia dan Tamadun Islam. Di Filipina pula diserapkan ke dalam subjek Sains, Makabayan seperti Ilmu Pengetahuan Sosial, Seni Muzik, Kesenian, Olahraga, Pendidikan Teknologi dan Pendidikan Keterampilan untuk Hidup dan Pendidikan Nilai. Di Vietnam diserapkan ke dalam Pendidikan Sivik, di Indonesia diserapkan ke dalam Pendidikan Moral, di China diserapkan ke dalam Pendidikan Undang-undang, di Thailand dan Korea diserapkan ke dalam Pendidikan Nilai.

Guru juga perlu memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha ini. Guru yang jujur dalam menjalankan tugas, beretika, mesra dan adil dalam melayani karenah pelajar akan disegani dan dicontohi oleh pelajar dan secara tidak langsung guru tersebut telah memberikan contoh yang baik kepada pelajarnya. Selain itu juga, guru perlu menerapkan nilai-nilai hak asasi manusia ke dalam pengajarannya seperti mewujudkan kaedah perbincangan. Hal ini akan akan memberi peluang kepada pelajar untuk mengemukakan pendapat masing-masing dan berkongsi idea tentang perkara yang dibincangkan. Setiap pendapat yang dikemukakan oleh pelajar perlu dibimbing oleh guru. Keadaan ini telah memenuhi hak bersuara pelajar.

Selain institusi pendidikan, peranan agensi antarabangsa juga diperlukan. Dengan penubuhan United Nations International Children’s Emergency Funds (UNICEF) telah menunjukkan adanya perhatian pihak antarabangsa dalam menjaga hak kanak-kanak. Konvensyen juga diadakan seperti Convention on the Right of the Child (CRC) yang menitikberatkan penjagaan Hak-hak asas kanak-kanak, tanggung jawab ibu bapa, hak menyatakan pendapat, dilindungi daripada dieksploitasi dan sebagainya.

Selain itu, konvensyen yang menjaga hak wanita juga diadakan seperti Convention on the Elimination of all forms of Discrimination Against Women (CEDAW) yang menitikberatkan hak untuk hidup, hak diperlakukan secara manusiawi dalam semua situasi, hak mendapat pendidikan, mendapat cuti hamil dengan bayaran, hak dalam urusan perkahwinan, hak untuk ikut serta dalam kegiatan: rekreasi, olahraga & semua segi kehidupan kebudayaan dan sebagainya.

Selain itu juga, pihak kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai kemanusiaan kepada masyarakat. Penubuhan SUHAKAM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat di Malaysia menunjukkan kerajaan prihatin terhadap hak asasi manusia. Di samping itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu melibatkan diri dalam usaha menjaga hak asasi manusia daripada diceroboh. Antara pertubuhan yang menjaga hak-hak wanita ialah Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM) dan sebagainya.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan nilai agama dan nilai murni. Mereka perlu menjalankan tanggung jawab dengan sebaiknya serta menghidupkan suasana berkasih sayang dalam keluarga. Selain itu, masyarakat perlu peka dengan isu semasa yang berlaku serta memberi tindak balas terhadap isu tersebut seperti memboikot hasil keluaran barangan yang melibatkan buruh kanak-kanak, memberi sumbangan dan derma kepada mangsa kekejaman Israel dan sebagainya. Media massa juga perlu memainkankan peranan yang sewajarnya dalam memberikan maklumat kepada masyarakat seperti membuat iklan tentang penjimatan dalam penggunaan air, menyiarkan rancangan yang membincangkan tentang hak asasi manusia seperti rancangan ’hujjah’ di tv 9, menerbitkan filem, drama, buku, majalah dan sebagainya yang berkaitan dengan nilai-nilai kemanusiaan.

Penutup.

Sebagai kesimpulannya, kita perlu memelihara hak asasi diri sendiri serta menghormati hak orang lain. Semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani masalah pelanggaran hak asasi manusia yang melangkaui batasan bangsa, budaya, negara dan juga agama. Dengan ini, dunia akan menjadi aman tanpa sebarang peperangan, tanpa penindasan dan tanpa penganiayaan.

Sunday, April 12, 2009

Menjelang perpisahan (maafkan aku teman)

Ingin ku abadikan kan rasa yang tidak termampu untuk kuluah,
moga mereka tahu isi hati yang sering berbicara,
agar mereka mengerti khazanah hati yang kemas tersimpan,
buat mereka disana, sepanjang perkenalan ini,

semusim yang kita tempuhi, berhari yang kita lalui,
ku menghulur tangan memohon sejuta kemaafan,
kerana pasti ada hati-hati suci yang tersentuh,
terasa sakit mahupun terguris,
hingga menjadi luka berdarah...

maafkan aku atas kekasaran mulut berkata,
atau perbuatan yang tidak enak dimata,
atau mungkin tingkah yang meresah jiwa,
atau bisu yang mengundang padah...

buat mereka, ku harap kau faham maksudku,
meminta kemaafan darimu,
tiada kekuatan bagiku menemuimu
untuk mengungkap kata, untuk meluah bicara..

sekali lagi, ku pinta kemaafan darimu,
mengharapkan halal segala-galanya...
doa dari hati ini moga kau bahagia hendaknya..

p/s buat semua sahabat SMPI

Isu-isu good governance di peringkat nasional

Isu- isu Good Governance di Malaysia

Berkaitan isu di peringkat nasional, telah banyak usaha yang dijalankan bagi melahirkan sebuah jentera pentadbiran yang bersih, telus dan amanah. Walau bagaimanapun, timbul juga beberapa masalah yang memperlihatkan ketidaktelusan dalam menjalankan amanah berpandukan kepada undang-undang atau peraturan yang ditetapkan.

Isu Rasuah, Penyelewengan dan Penyalahgunaan Kuasa.

Terdapat terlalu banyak kes-kes rasuah yang berlaku dalam kalangan penjawat awam termasuklah dalam peringkat kementerian. Dalam siasatan yang dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati dari tahun 2000 sehingga 2005, sebanyak 5901 kes rasuah yang mana sebanyak 2359 tangkapan dibuat dan 1033 kes telah dihadapkan ke mahkamah. Manakala pada tahun 2006 sehingga 2008, terdapat sebanyak 1742 tangkapan yang telah dibuat.

Selain itu, negara pernah digemparkan dengan pendedahan oleh Bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Syafie Yahya bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah menghalang tindakan ke atas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Tan Sri Ali Abul Hassan Suleiman meskipun BPR telah menjalankan siasatan yang rapi dan mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa beliau. Malah semasa pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi, Rais Yatim ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang pernah mengumumkan bahawa terdapat kes-kes korupsi yang melibatkan 18 individu berprofail tinggi, namun sehingga kini tidak ada sebarang tindakan atau perkembangan mengenainya diumumkan.

Apabila timbul isu seperti ini, BPR tidak dapat berfungsi kerana ia diletakkan di bawah pengawasan Perdana Menteri. Malah sebarang tindakan BPR terhadap pemimpin kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada Perdana Menteri. Ini terbukti apabila BPR, setelah melakukan siasatan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan seperti Rafidah Aziz dan Rahim Tamby Chik, mendapati terdapat cukup bukti untuk mendakwa mereka, tetapi tindakan tidak dapat diambil kerana campurtangan Perdana Menteri.

Isu Pengurusan Kewangan

Pengurusan kewangan sektor awam melibatkan proses perancangan, pelaksanaan dan pengawalan penggunaan aset dan sumber kewangan awam. Ia merangkumi untuk peruntukan pembayaran, pemberian pengawalan, pengelolaan wang dan aset awam serta tanggungjawab pengurusan mematuhi akta dan peraturan pebgurusan kewangan yang berkuat kuasa selaras dengan dasar-dasar kerajaan.

Berbangkit mengenai isu pengurusan kewangan ini, timbul beberapa masalah ketidakcekapan dan ketidaktelusan serta membelakangkan amanah yang telah diberikan. Jabatan Audit Negara selama ini telah mendedahkan kepincangan-kepincangan dan salah urus kewangan yang berlaku di dalam kementerian-kementerian dan kerajaan-kerajaan negeri. Namun ia tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan. Prinsip Islam mempertegaskan kefardhuan agar tindakan diambil untuk membetulkan kepincangan di dalam pengurusan kewangan dan kekayaan negara. Ini adalah sangat asasi kerana penyelewengan dan pembaziran akan menafikan hak rakyat dan sekaligus menzalimi mereka. Malah ia akan membantutkan pertumbuhan negara itu sendiri.

Isu Pengurusan Pengaduan Awam

Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berperanan memastikan hak rakyat tidak dinafikan dan ditindas seterusnya berfungsi sebagai saluran alternatif untuk rakyat mengemukakan aduan mengenai penganiayaan ke atas mereka yang tidak diberikan perhatian oleh kerajaan. SUHAKAM sebenarnya telah diperuntukkan kuasa meluas untuk melaksanakan siasatan dan semua pihak diperlukan oleh undang-undang untuk memberi kerjasama dengan SUHAKAM.

Namun realitinya ialah agensi dan jabatan kerajaan seringkali enggan mendedahkan maklumat yang diperlukan SUHAKAM kerana tertakluk kepada undang-undang yang menyekat kebebasan maklumat. Malah kerajaan Malaysia sehingga ke hari ini masih enggan menggubal Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act) sedangkan penguatkuasaan akta ini di beberapa negara asing telah terbukti memberi kesan signifikan untuk menyekat korupsi dan salahguna kuasa.

Tiadanya kejujuran di pihak kerajaan ini jelas kelihatan apabila sehingga kini usaha-usaha untuk membahaskan laporan SUHAKAM di Parlimen terus-terusan ditentang oleh kerajaan. Setakat ini, berpuluh-puluh aduan dan laporan telah dibuat kepada BPR dan Polis DiRaja Malaysia mengenai perlakuan jenayah dan korupsi, khususnya yang melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan. Namun tidak ada sebarang tindakan diambil.

RUJUKAN
Ahmad Atory Hussain (2007), Tadbir Urus Korporat, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, Kuala Lumpur
http://www.sprm.gov.my/
Penghayatan Prinsip Hisbah dan Urus Tadbir yang Baik di Malaysia, oleh Mohamad Ezam Mohd Nor http://dppwp.wordpress.com/usrah/penghayatan-prinsip-hisbah-dan-urus-tadbir-yang-baik-di-malaysia/
Tadbir Urus Yang Baik Untuk Pembangunan http://www.utusan.com.my/utusan/SpecialCoverage/RMK9/bahasa/Bab25.pdf

p/s bersikap telus dan amanahlah dalam setiap tindakan kita..Sesungguhnya Allah Maha Melihat Hambanya.

Thursday, April 9, 2009

memori dinner SMPI

4 sekawan



sahabat sabahan



sahabat tersayang



sumandak sabah



kenangan manis dinner SMPI d INTEKMA RESORT Shah Alam, Selangor.







kenangan bersama sahabat sekalian tak mungkin dilupakan..

Friday, April 3, 2009

"Rahmatilah mereka yang ada di bumi, nescaya yang di atas akan merahmatimu".

DINNER KOMUNITI PENGAJIAN QURAN SMPI 05/06



"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam". 107, al-anbiyaa'

"Rahmatilah mereka yang ada di bumi, nescaya yang di atas akan merahmatimu",

Ustaz Asyraf Isyraqi memberi pesan pada kami sempena dinner Komuniti PQ.. Rahmat wujud dalam kasih sayang, ia juga ada dalam maaf. Begitu juga dalam penghormatan, keyakinan dan ketegasan..rahmat juga turut berada dalam belas kasihan dan termasuklah dalam Pengajaran dan pendidikan..

Peranan sebagai seorang guru ataupun khususnya kepada para ustaz dan ustazah, peranan mendidik, mangajar, mentarbiah manusia iaitu anak murid mengikut acuan islam, maka ianya mestilah bermula dengan diri sendiri terlebih dahulu.. didiklah diri, tarbiahlah diri dengan silibus islam yang syumul, kehidupan islami yang akhirnya diterjemahkan dengan akhlak islami yang dapat membimbing anak murid khasnya dan masyarakat umumnya.



Wahai bakal guru sekalian,
Rahmatilah orang yang Jahil dengan Ilmu,
Rahmatilah orang yang Hina dengan Kemuliaan,
Rahmatilah mereka yang Miskin dengan Harta,
Rahmatilah mereka yang Lemah dengan Kekuatan,
Rahmatilah kanak-kanak dan orang tua dengan Kasih Sayang,
Nescaya Seluruh Alam akan merahmat kamu.





Kepada bakal guru, hendaklah kamu mempersiapkan dirimu dengan ilmu, akhlak yang baik dan kemahiran lain agar kamu menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain.

# Tahniah buat adik beradik PQ yang akan menjalani Latihan Mengajar nanti, ampun maaf atas segala kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. semoga bertemu lagi pada masa akan datang.

Thursday, April 2, 2009

Bijak, Kreatif atau .....




Asalnya, mula terbaca kat emel kawan psl karangan terbaik upsr, mlm ni, saya baca satu artikel kat blog Ust. Isyraqi, iaitu karangan yang sama seperti yang saya baca dulu.. karangan yang agak lucu dan kdg2 sepeti menakutkan..tapi bila fikir semula, itu lah realiti pelajar masa kini yang sering terdedah kepada anasir media massa yang tidak bertapis, yang juga seringkali dicedok bulat-bulat oleh kanak-kanak seterusnya diterjemah ke dalam karangan bahasa melayu di sekolah.. mari sama-sama kita renungkan, adakah wajar perkara seperti ini berlaku?

artikel pada 22 Feb 2009 (ruangan blog Faisal Tehrani)

Karangan pelajar yang menduduki UPSR ini sungguh mengejutkan. Sebagai pembimbing Minggu Penulis Remaja hampir sedekad, sesungguhnya saya tidak terkejut. Ia mungkin lucu, tetapi ia juga menakutkan kita. Terima kasih kepada adik saya yang bertugas di Jabatan Nazir Sekolah yang menyerahkan salinan karangan ini:

Kemalangan Ngeri Yang Pernah Saya Alami

Pagi itu pagi minggu. Cuaca cukup sejuk sehingga mencapai takat suhu beku. Sebab itu saya tidak mandi pagi sebab air kolah jadi air batu dan air paip tidak mahu keluar sebab beku di dalam batang paip. Pagi itu saya bersarapan dengan keluarga di dalam unggun api kerana tidak tahan sejuk. Selepas itu emak saya mengajak saya menemaninya ke pasar. Tetapi saya tidak mahu.

Selepas emak menikam perut saya berkali-kali dengan garfu barulah saya bersetuju untuk mengikutnya. Kami berjalan sejauh 120 kilometer kerana pasar itu letaknya 128 kilometer dari rumah. Lagi 8 kilometer nak sampai pasar saya ternampak sebuah lori kontena meluru dengan laju dari arah belakang.

Dia melanggar emak saya. Emak saya tercampak ke dalam gaung. Dia menjerit "Adoi!". Lepas itu emak saya naik semula dan mengejar lori tersebut. Saya pun turut berlari di belakang emak saya kerana takut emak saya melanggar lori itu pula. Pemandu lori itu nampak kami mengejarnya. Dia pun memecut lebih laju iaitu sama dengan kelajuan cahaya. Kami pula terpaksa mengejar dengan lebih laju iaitu sama dengan dua kali ganda kelajuan cahaya. Emak saya dapat menerajang tayar depan lori itu. Lori itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu bertembung dengan sebuah feri. Feri itu terbelah dua.

Penumpang feri itu yang seramai 100 orang semuanya mati. Pemandu feri itu sangat marah. Dia pun bertukar menjadi Ultraman dan memfire pemandu lori. Pemandu lori menekan butang khas di dalam lori dia..lori itu bertukar menjadi robot Transformer. Mereka bergaduh di udara. Emak saya tidak puas hati. Dia pun terus menyewa sebuah helikopter di Genting Highlands dan terus ke tempat kemalangan. Dia melanggar pemandu feri yang telah bertukar menjadi Ultraman itu.

Pemandu feri itu terkejut dan terus bertukar menjadi pemandu feri semula lalu terhempas ke jalanraya. Pemandu feri itu pecah. Pemandu lori sangat takut melihat kejadian itu. Dia meminta maaf dari emak saya. Dia menghulurkan tangan ingin bersalam. Tetapi emak saya masih marah. Dia menyendengkan helikopternya dan mengerat tangan pemandu lori itu dengan kipas helikopter. Pemandu lori itu menjerit "Apaan Lu!" dan jatuh ke bumi. Emak saya menghantar helikopter itu ke Genting Highlands. Bila dia balik ke tempat kejadian, dia terus memukul pemandu lori itu dengan beg tangannya sambil memarahi pemandu lori itu di dalam bahasa Inggeris.

"You better watcha up. Ten times more plus ten times, twentytimes i beat you always."

Pemandu lori itu tidak dapat menjawab sebab emak saya cakap orang putih. Lalu pemandu lori itu mati. Tidak lama kemudian kereta polis pun sampai. Dia membuat lapuran ke ibu pejabatnya tentang kemalangan ngeri itu. Semua anggota polis di pejabat polis itu terperanjat lalu mati. Orang ramai mengerumuni tempat kejadian kerana ingin mengetahui apa yang telah terjadi. Polis yang bertugas cuba menyuraikan orang ramai lalu dia menjerit menggunakan pembesar suara, "Semua butuh minggir". Orang ramai terperanjat dan semuanya mati.

Selepas itu emak saya mengajak saya ke pasar untuk mengelak lebih ramai lagi yang akan mati. Di pasar, emak saya menceritakan kejadian itu kepada penjual daging. Penjual daging dan peniaga-peniaga berhampiran yang mendengar cerita itu semuanya terkejut dan mati. Magic sungguh. Saya dan emak saya terus berlari balik ke rumah. Kerana terlalu penat sebaik saja sampai di rumah kami pun mati.

Itulah kemalangan yang paling ngeri yang pernah saya lihat sebelum saya mati.

Apakah respon anda setelah membaca artikel ini? bijakkah murid tadi? atau kreatif kah dia kerana mampu mengadaptasi elemen luar ke dalam karangan ataupun ....?