si comel buah hatiku

si comel buah hatiku

Friday, April 17, 2009

PERANAN PENDIDIKAN HAK ASASI MANUSIA

Peranan Pendidikan Hak Asasi Manusia

Dalam menangani masalah pencabulan terhadap hak asasi manusia, peranan pendidikan terhadap hak asasi manusia diperlukan bagi menjayakan usaha murni ini. Pendidikan hak asasi manusia boleh didefinisikan sebagai semua pembelajaran yang membangunkan pengetahuan, kemahiran dan nilai hak asasi manusia. Ia adalah bermaksud lebih daripada memberi maklumat tentang hak dan saluran yang digunakan. Ianya haruslah bertujuan mencipta hubungan yang kuat pada prinsip dan nilai seperti menghormati maruah manusia dan hak orang lain dan mengembangkan kebolehan manusia untuk mempertahankan hak mereka dan memerangi sikap tidak ambil peduli. Antara tujuan pendidikan hak asasi diperkenalkan adalah untuk memberi pengetahuan tentang hak-hak asasi manusia serta memupuk kesedaran di kalangan manusia bagi mewujudkan perubahan tingkah laku dalam tempoh yang panjang dan juga sebagai persediaan untuk menghadapi dunia nyata.

Pendidikan hak asasi manusia boleh diterapkan secara formal dan juga tidak formal. Pendidikan formal meliputi institusi pendidikan dan agensi antarabangsa. Manakala pendidikan tidak formal meliputi badan kerajaan, badan bukan kerajaan, ibu bapa, masyarakat dan media massa.

Dalam institusi pendidikan, ramai pihak yang berperanan penting dalam menerapkan nilai-nilai hak asasi manusia kepada pelajar. Antaranya ialah peranan sekolah atau institusi pengajian tinggi itu sendiri. Antara usaha yang telah diambil oleh institusi pengajian tinggi di Amerika seperti Harvard University, Columbia University, Yale University, Denver University, Minnesota University, State University of New York dan England seperti University of Essex ialah menubuhkan pusat penyelidikan hak asasi manusia. Ia berfungsi sebagai pusat untuk mengkaji tentang hak asasi manusia yang telah diceroboh seterusnya mencari langkah-langkah bagi memelihara hak tersebut daripada dilanggar oleh mana-mana pihak.

Selain itu, program seperti ceramah, diskusi ilmiah, forum dan seminar sesuai diadakan. Untuk memberi maklumat yang lebih mendalam kepada pelajar tentang isu keganasan Israil terhadap rakyat Gaza, pihak Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya telah mengadakan ceramah berkaitan isu berkenaan yang disampaikan oleh pakar sejarah. Selain itu juga, sistem mentor perlu diwujudkan supaya pelajar dapat membincangkan tentang masalah dirinya serta berkongsi maklumat tentang sesuatu isu. Sistem ini telah diwujudkan di universiti di Amerika dan di Malaysia seperti Universiti Malaya.
Selain itu juga, peranan kurikulum amat penting dalam menerapkan nilai hak asasi manusia kepada pelajar. Antara usaha yang telah dimainkan oleh UNESCO dengan kerjasama HURIGHT OSAKA telah menyediakan Rencana Pelajaran Hak Asasi Manusia untuk Sekolah-sekolah Asia Tenggara yang meliputi enam buah negara seperti Kamboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam. Isi dan metodologi rencana ini disediakan mengikut kesesuaian dan keperluan pelajar di setiap negara. Rencana ini disediakan untuk memberi bantuan kepada guru dalan memajukan pengajaran hak asasi manusia di sekolah. Pendidikan hak asasi manusia diterapkan ke dalam subjek-subjek tertentu memandangkan ianya tidak dijadikan sebagai subjek khusus. Sebagai contoh, di Malaysia ia diserapkan ke dalam subjek Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Sejarah, Tamadun Asia dan Tamadun Islam. Di Filipina pula diserapkan ke dalam subjek Sains, Makabayan seperti Ilmu Pengetahuan Sosial, Seni Muzik, Kesenian, Olahraga, Pendidikan Teknologi dan Pendidikan Keterampilan untuk Hidup dan Pendidikan Nilai. Di Vietnam diserapkan ke dalam Pendidikan Sivik, di Indonesia diserapkan ke dalam Pendidikan Moral, di China diserapkan ke dalam Pendidikan Undang-undang, di Thailand dan Korea diserapkan ke dalam Pendidikan Nilai.

Guru juga perlu memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha ini. Guru yang jujur dalam menjalankan tugas, beretika, mesra dan adil dalam melayani karenah pelajar akan disegani dan dicontohi oleh pelajar dan secara tidak langsung guru tersebut telah memberikan contoh yang baik kepada pelajarnya. Selain itu juga, guru perlu menerapkan nilai-nilai hak asasi manusia ke dalam pengajarannya seperti mewujudkan kaedah perbincangan. Hal ini akan akan memberi peluang kepada pelajar untuk mengemukakan pendapat masing-masing dan berkongsi idea tentang perkara yang dibincangkan. Setiap pendapat yang dikemukakan oleh pelajar perlu dibimbing oleh guru. Keadaan ini telah memenuhi hak bersuara pelajar.

Selain institusi pendidikan, peranan agensi antarabangsa juga diperlukan. Dengan penubuhan United Nations International Children’s Emergency Funds (UNICEF) telah menunjukkan adanya perhatian pihak antarabangsa dalam menjaga hak kanak-kanak. Konvensyen juga diadakan seperti Convention on the Right of the Child (CRC) yang menitikberatkan penjagaan Hak-hak asas kanak-kanak, tanggung jawab ibu bapa, hak menyatakan pendapat, dilindungi daripada dieksploitasi dan sebagainya.

Selain itu, konvensyen yang menjaga hak wanita juga diadakan seperti Convention on the Elimination of all forms of Discrimination Against Women (CEDAW) yang menitikberatkan hak untuk hidup, hak diperlakukan secara manusiawi dalam semua situasi, hak mendapat pendidikan, mendapat cuti hamil dengan bayaran, hak dalam urusan perkahwinan, hak untuk ikut serta dalam kegiatan: rekreasi, olahraga & semua segi kehidupan kebudayaan dan sebagainya.

Selain itu juga, pihak kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai kemanusiaan kepada masyarakat. Penubuhan SUHAKAM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat di Malaysia menunjukkan kerajaan prihatin terhadap hak asasi manusia. Di samping itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu melibatkan diri dalam usaha menjaga hak asasi manusia daripada diceroboh. Antara pertubuhan yang menjaga hak-hak wanita ialah Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM) dan sebagainya.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan nilai agama dan nilai murni. Mereka perlu menjalankan tanggung jawab dengan sebaiknya serta menghidupkan suasana berkasih sayang dalam keluarga. Selain itu, masyarakat perlu peka dengan isu semasa yang berlaku serta memberi tindak balas terhadap isu tersebut seperti memboikot hasil keluaran barangan yang melibatkan buruh kanak-kanak, memberi sumbangan dan derma kepada mangsa kekejaman Israel dan sebagainya. Media massa juga perlu memainkankan peranan yang sewajarnya dalam memberikan maklumat kepada masyarakat seperti membuat iklan tentang penjimatan dalam penggunaan air, menyiarkan rancangan yang membincangkan tentang hak asasi manusia seperti rancangan ’hujjah’ di tv 9, menerbitkan filem, drama, buku, majalah dan sebagainya yang berkaitan dengan nilai-nilai kemanusiaan.

Penutup.

Sebagai kesimpulannya, kita perlu memelihara hak asasi diri sendiri serta menghormati hak orang lain. Semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani masalah pelanggaran hak asasi manusia yang melangkaui batasan bangsa, budaya, negara dan juga agama. Dengan ini, dunia akan menjadi aman tanpa sebarang peperangan, tanpa penindasan dan tanpa penganiayaan.

No comments: