Hak Untuk Mengakses Keperluan Hidup ( Krisis Air Bersih )
Air adalah kehidupan. Tidak ada satu negara pun yang mampu mencapai kestabilan ekonomi dan sosial tanpa ada jaminan bekalan air bersih dan air tawar. Pada hari ini, semakin banyak negara yang mula menyedari air mempunyai kepentingan yang lebih berbanding minyak. Penganalisis meramalkan air mungkin menggantikan minyak sebagai punca ketegangan politik dunia pada abad 21. Menurut PBB seseorang memerlukan sekurang-kurangnya 50 liter sehari untuk keperluan minuman, mencuci dan memasak. Menjelang tahun 2025, permintaan untuk air bersih dijangka meningkat 56% lebih daripada jumlah air masa kini.
Kekurangan akses bekalan air bersih terutama bagi penduduk di negara miskin antara yang paling teruk dibelenggu masalah bekalan air bersih. Antaranya, Zimbabwe, Sudan, Ghana, dan Cuba. Ini menyebabkan timbulnya masalah kesihatan kepada penduduk kerana terpaksa menggunakan air tercemar untuk tujuan sanitasi dan minuman. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sebanyak 3900 kanak-kanak mati setiap hari di negara miskin disebabkan penyakit bawaan air.
Laporan PBB pada tahun 2003 menyatakan sebanyak 12 000 meter padu air telah di cemari bersamaan dengan jumlah isipadu 10 sungai terbesar dunia pada masa kini. Di jangkakan, dunia akan kehilangan sebanyak 18 000 meter padu sumber air bersih menjelang tahun 2050 jika keadaan ini berterusan. Pencemaran air di negara miskin banyak disebabkan ketiadaan sistem sanitasi yang sempurna. Bagi negara membangun pula pencemaran air berlaku disebabkan aktiviti pertanian, kumbahan, perindustrian dan juga projek pembinaan infrastruktur. Bagi negara maju pula disebabkan oleh aktiviti perindustrian yang menghasilkan air sisa buangan.
Di seluruh dunia terdapat kira-kira 215 batang sungai yang dikongsi bersama dua atau lebih negara. Konflik banyak berlaku disebabkan ketidaksefahaman dalam pengagihan sumber air, penggunaan berlebihan sumber air dan projek pengalihan aliran air sungai yang sekaligus menimbulkan kemarahan antara negara yang terlibat. Antara negara yang berkongsi sumber air ialah, Israel, Jordan dan Palestin yang berebut hak ke atas Sungai Jordan. Turki dan Syria pula berkongsi sungai Euphrates. Amerika Syarikat dan Kanada dalam isu penguasaan ke atas Lembangan Great Lakes.
Terdapat beberapa contoh negara yang mengalami krisis air yang meruncing antaranya termasuklah Indonesia iaitu Jawa Barat, Jakarta, Jawa Tengah, dan Jawa Timur. Begitu juga di Singapura, negara ini terpaksa membeli sumber air bersih dari Malaysia. Manakala di Negara Afrika berlaku perebutan hak sungai Nil sebagai sumber air negara. Kembali ke negara Malaysia pula, antara tempat-tempat yang mengalami krisis air antaranya Melaka, Lembah Klang, Kelantan dan Sabah.
Bagi menghadapi masalah krisis air bersih ini, terdapat beberapa cadangan dan langkah yang boleh diguna pakai oleh semua lapisan masyarakat dalam usaha penjimatan dan berpada-pada iaitu penggunaan air bersih yang lestari. Apabila kita hendak menggosok gigi, sebaiknya gunakan segelas air sahaja. Begitu juga apabila membuang air kecil bolehlah menggunakan single flush dan dual flush apabila membuang air besar. Selain itu, seeloknya gunakan kembali air hujan atau air wudhuk untuk menyiram tanaman atau jalanan. Seterusnya jangan mandi terlalu lama, menggunakan gayung untuk mencuci kereta dan sentiasa cek paip air, sekiranya terdapat sebarang kebocoran hendaklah segera diperbaiki.
No comments:
Post a Comment