Isu Perak dan Isu Palestin
Hak Asasi Manusia dalam bidang sivil dan politik adalah merangkumi hak kebebasan bercakap, kebebasan beragama, kebebasan berkumpul dan menubuhkan persatuan, kebebasan daripada penderaan dan kesaksamaan di bawah undang-undang. Ini semua dilakukan demi untuk menggalakkan rasa hormat terhadap hak-hak asasi manusia yang dimiliki oleh setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Namun akhir-akhir ini, hak asasi manusia seperti yang telah diperjuangkan oleh kebanyakan manusia dan Negara di dunia telah tercemar dengan kerakusan sesetengah pihak yang langsung tidak menghormati hak yang telah ditubuhkan ini. Pelanggaran ini boleh dilihat kepada beberapa contoh yang berlaku di dalam Negara kita sendiri dan juga di peringkat global secara umumnya. Maka untuk membincangkan contoh pelanggaran yang berlaku terhadap sistem Hak Asasi Manusia dalam bidang sivil dan politik ini, saya akan fokuskan kepada dua isu utama yang menjadi perhatian ramai masyarakat dunia ketika ini. Isu yang akan disentuh ini telah mewakili isu nasional dan antarabangsa sendiri.
Di Malaysia, penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah mendapat kritikan dan tentangan yang hebat daripada rakyat dan kebanyakan ahli politik serta ahli akademik itu sendiri. Pelbagai pihak termasuk dalam dan luar negara mengkritik kerajaan Malaysia kerana menyekat hak asasi melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), OSA, dan lain-lain. Pengunaan akta ini dapat dilihat terhadap pemimpin politik dan layanan buruk terhadap pendatang asing. Inilah isu yang harus menjadi perhatian utama dalam mempersoalkan rekod hak asasi manusia di Malaysia.
Contoh lain yang ketara dapat dilihat ialah semasa kempen pilihanraya yang berlangsung setiap empat tahun sekali di Negara kita. Sekatan terhadap parti politik yang mahu mengadakan ceramah umum adalah sesuatu yang melanggar hak asasi manusia yang digariskan sebelum ini. Dalam hal ini, Suhakam mendakwa larangan ceramah umum dianggap mencabuli hak asasi manusia kerana tidak ada peruntukan undang-undang yang boleh menghalang seseorang itu daripada mengadakan ceramah politik.
Suhakam juga meminta polis menjelaskan mengenai larangan terhadap ceramah umum kerana berpendapat larangan secara umum untuk berhimpun adalah mencabuli hak asasi manusia. Tiada peruntukan undang-undang bagi larangan dikenakan ke atas ceramah politik. Hak untuk berhimpun secara aman merupakan hak asasi manusia bersifat asas yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, Suhakam tidak merestui keganasan dalam semua bentuk tetapi berhimpun secara aman boleh diadakan.
Memburukkan lagi keadaan, rekod Hak Asasi Manusia Malaysia sudah dipertikaikan di peringkat Badan Antarabangsa Hak Asasi Manusia iaitu di peringkat Human Rights Watch (HRW) dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sebagai contoh, Human Rights Watch (HRW) berkata proses semakan di kalangan anggota PBB harus mendesak Malaysia sepatutnya bertanggungjawab atas semua bentuk pelanggaran tersebut, iaitu termasuklah pada pelarian, pendatang haram dan penahanan tanpa bicara (ISA). Timbalan Pengarah HRW, Elaine Pearson juga mempunyai pendapat yang sama iaitu beliau mengatakan bahawa, Negara-negara anggota PBB patut mencabar Malaysia untuk memansuhkan ISA samaada mendesaknya, mendakwa atau membebaskan semua tahanan.
Menurutnya lagi, pengunaan akta kontroversi itu yang antaranya terhadap penulis blog Raja Petra Kamaruddin, pemimpin parti DAP Teresa Kok dan lima pemimpin Barisan Bertindak Hak Hindu (HINDRAF) atas nama keamanan, keselamatan dan kestabilan adalah menyalahi pelbagai piawaian hak asasi dunia. Maka hari ini, Malaysia buat pertama kali telah dihadapkan ke panel antarabangsa di Geneva untuk semakan rekod pelanggaran hak asasi manusia. Ia merupakan amalan setiap empat tahun bagi semua Negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Semakan itu telah dibuat di peringkat Majlisa Hak Asasi Manusia PBB.
Mengulas isu pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku di peringkat dunia pula, saya merujuk kepada isu kekejaman rejim Israel terhadap rakyat dan Negara Palastin. Ketidakamanan negara Palastin akibat serangan bertali arus rejim Israel itu mengakibatkan kematian meningkat saban hari yang melibatkan kanak-kanak, orang tua dan para wanita yang tidak bermaya. Gambaran yang menyayat hati ini tidak akan lenyap kerana konflik Palestin-Israel telah berlarutan lebih lima dekad dan tidak nampak jalan penyelesaiannya.
Jelas sudah bahawa Israel akan berkeras sehingga seluruh Palestin dikuasai di bawah telunjuk Israel. Lebih parah lagi apabila Palestin tiada sokongan yang benar-benar boleh membela Palestin. Negara-negara Arab yang utama dan OIC berdiam diri, hanya melihat segalanya. Mereka seolah-olah bisu, pekak dan buta seperti kenyataan Dr Syed Ali Tawfik al-Attas, Pengarah IKIM. Tidak perlulah mempertikaikan sangat soal Presiden Obama yang juga membisu dan tidak mendengar jeritan rakyat Palestin yang terseksa dan teraniaya kerana bangsa Arab dan sebahagian umat Islam sendiri juga bersikap seperti Presiden Obama dalam isu pengeboman Israel ke atas Gaza. Apa yang sedang dan akan berterusan berlaku adalah usaha yang tiada henti Israel untuk menguasai seluruh kawasan yang dahulunya milik mutlak rakyat Palestin.
Dengan isu yang berlaku ini, seluruh dunia melihat apakah yang mampu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara Islam (OIC) lakukan demi menamatkan konflik yang telah berzaman terus menerus berlaku di bumi orang Islam ini. OIC sendiri umpamanya dilihat hanya beretorik semata-mata. Sejak penubuhannya pada tahun 1969, persidangan OIC telah menghasilkan lebih daripada 3200 resolusi iaitu yang merangkumi plan boikot barangan Israel sehinggalah rancangan untuk meningkatkan hubungan ekonomi, sosial dalam kalangan Negara-negara ahli. Tetapi itu semua tidak lebih daripada hanya bermegah dengan rancangan pelan perubahan yang dilakonkan di atas kertas sahaja.
Sepatutnya, tindakan kejam Israel ini harus dikecam dan dikutuk keras oleh PBB dan OIC serta badan-badan keamanan dunia. Namun yang terjadi kini lain pula ceritanya. Kuasa-kuasa besar dunia seperti tidak tahu menahu tentang tragedi pencabulan hak asasi manusia yang berlaku ini. Amerika umpamanya cukup maklum bahawa tindakan Israel ini adalah satu bentuk keganasan yang berlalu dalam sejarah peradaban dunia. Namun mengambil langkah tidak mempedulikan bahkan menyalahkan pula pembela Negara palastin atas alasan sebagai punca kepada keganasan oleh rejim Israel ini. Ini menampakkan bahawa, Hak Asasi Manusia hanya untuk Amerika dan sekutunya dan bukan untuk umat Islam dan rakyat Palestin.
No comments:
Post a Comment