si comel buah hatiku

si comel buah hatiku

Sunday, April 12, 2009

Isu-isu good governance di peringkat nasional

Isu- isu Good Governance di Malaysia

Berkaitan isu di peringkat nasional, telah banyak usaha yang dijalankan bagi melahirkan sebuah jentera pentadbiran yang bersih, telus dan amanah. Walau bagaimanapun, timbul juga beberapa masalah yang memperlihatkan ketidaktelusan dalam menjalankan amanah berpandukan kepada undang-undang atau peraturan yang ditetapkan.

Isu Rasuah, Penyelewengan dan Penyalahgunaan Kuasa.

Terdapat terlalu banyak kes-kes rasuah yang berlaku dalam kalangan penjawat awam termasuklah dalam peringkat kementerian. Dalam siasatan yang dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati dari tahun 2000 sehingga 2005, sebanyak 5901 kes rasuah yang mana sebanyak 2359 tangkapan dibuat dan 1033 kes telah dihadapkan ke mahkamah. Manakala pada tahun 2006 sehingga 2008, terdapat sebanyak 1742 tangkapan yang telah dibuat.

Selain itu, negara pernah digemparkan dengan pendedahan oleh Bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Syafie Yahya bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah menghalang tindakan ke atas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Tan Sri Ali Abul Hassan Suleiman meskipun BPR telah menjalankan siasatan yang rapi dan mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa beliau. Malah semasa pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi, Rais Yatim ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang pernah mengumumkan bahawa terdapat kes-kes korupsi yang melibatkan 18 individu berprofail tinggi, namun sehingga kini tidak ada sebarang tindakan atau perkembangan mengenainya diumumkan.

Apabila timbul isu seperti ini, BPR tidak dapat berfungsi kerana ia diletakkan di bawah pengawasan Perdana Menteri. Malah sebarang tindakan BPR terhadap pemimpin kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada Perdana Menteri. Ini terbukti apabila BPR, setelah melakukan siasatan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan seperti Rafidah Aziz dan Rahim Tamby Chik, mendapati terdapat cukup bukti untuk mendakwa mereka, tetapi tindakan tidak dapat diambil kerana campurtangan Perdana Menteri.

Isu Pengurusan Kewangan

Pengurusan kewangan sektor awam melibatkan proses perancangan, pelaksanaan dan pengawalan penggunaan aset dan sumber kewangan awam. Ia merangkumi untuk peruntukan pembayaran, pemberian pengawalan, pengelolaan wang dan aset awam serta tanggungjawab pengurusan mematuhi akta dan peraturan pebgurusan kewangan yang berkuat kuasa selaras dengan dasar-dasar kerajaan.

Berbangkit mengenai isu pengurusan kewangan ini, timbul beberapa masalah ketidakcekapan dan ketidaktelusan serta membelakangkan amanah yang telah diberikan. Jabatan Audit Negara selama ini telah mendedahkan kepincangan-kepincangan dan salah urus kewangan yang berlaku di dalam kementerian-kementerian dan kerajaan-kerajaan negeri. Namun ia tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan. Prinsip Islam mempertegaskan kefardhuan agar tindakan diambil untuk membetulkan kepincangan di dalam pengurusan kewangan dan kekayaan negara. Ini adalah sangat asasi kerana penyelewengan dan pembaziran akan menafikan hak rakyat dan sekaligus menzalimi mereka. Malah ia akan membantutkan pertumbuhan negara itu sendiri.

Isu Pengurusan Pengaduan Awam

Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berperanan memastikan hak rakyat tidak dinafikan dan ditindas seterusnya berfungsi sebagai saluran alternatif untuk rakyat mengemukakan aduan mengenai penganiayaan ke atas mereka yang tidak diberikan perhatian oleh kerajaan. SUHAKAM sebenarnya telah diperuntukkan kuasa meluas untuk melaksanakan siasatan dan semua pihak diperlukan oleh undang-undang untuk memberi kerjasama dengan SUHAKAM.

Namun realitinya ialah agensi dan jabatan kerajaan seringkali enggan mendedahkan maklumat yang diperlukan SUHAKAM kerana tertakluk kepada undang-undang yang menyekat kebebasan maklumat. Malah kerajaan Malaysia sehingga ke hari ini masih enggan menggubal Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act) sedangkan penguatkuasaan akta ini di beberapa negara asing telah terbukti memberi kesan signifikan untuk menyekat korupsi dan salahguna kuasa.

Tiadanya kejujuran di pihak kerajaan ini jelas kelihatan apabila sehingga kini usaha-usaha untuk membahaskan laporan SUHAKAM di Parlimen terus-terusan ditentang oleh kerajaan. Setakat ini, berpuluh-puluh aduan dan laporan telah dibuat kepada BPR dan Polis DiRaja Malaysia mengenai perlakuan jenayah dan korupsi, khususnya yang melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan. Namun tidak ada sebarang tindakan diambil.

RUJUKAN
Ahmad Atory Hussain (2007), Tadbir Urus Korporat, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, Kuala Lumpur
http://www.sprm.gov.my/
Penghayatan Prinsip Hisbah dan Urus Tadbir yang Baik di Malaysia, oleh Mohamad Ezam Mohd Nor http://dppwp.wordpress.com/usrah/penghayatan-prinsip-hisbah-dan-urus-tadbir-yang-baik-di-malaysia/
Tadbir Urus Yang Baik Untuk Pembangunan http://www.utusan.com.my/utusan/SpecialCoverage/RMK9/bahasa/Bab25.pdf

p/s bersikap telus dan amanahlah dalam setiap tindakan kita..Sesungguhnya Allah Maha Melihat Hambanya.

No comments: