si comel buah hatiku

si comel buah hatiku

Monday, March 30, 2009

#rindu ke#

kembali jemari menekan key sementara lintasan idea menerjah ruang minda..proses alam berlalu meninggalkan manusia di alam masing-masing. subuh mula mengambil tempatnya sementara malam beransur melabuh tirainya.

mata kecil ini juga menimbulkan tanya dan soal di hati. tidak tampak tanda mahunya pada baring. mungkin, kawan kecil dihadapan ini menjadi punca , mengalih arah terus tepat ke skrin.. sama seperti sebelum ini, tugasan sebagai mahasiswa masih menemani diri. pendidikan yang sangat global yang kadang turut meresahkan.

wahai telinga yang mendengar, halwa alunan quran memenuhi ruang legar. seketika selepas maghrib tadi, anak-anak kecil datang lagi, kelihatan mereka senang, berusaha mencapai kertas dan pena, terus menerus menyoal dan bertanya, dan sedaya upaya mungkin, ku bantu anak-anak itu.. hakikatnya, hati ini sangat bahagia, sebab apa ya? sebab si anak-anak kecil tadi sebagai pengubat resah rindu keluarga yang jauh dimata..melihat karenah mereka, pasti terimbau kenangan dan memori bersama anak saudara tersayang..

letih menjengah tubuh, pancaindera tak terdaya lagi..buatmu teman dan diriku jua, selamat malam moga Allah memanjangkan umur kita agar dapat kita beriman dan menegakkan islam di muka bumi.

sekadar coretan hati...

Sunday, March 29, 2009

::SuaRa HaTi::

24 julai 2008
Suara hati membisik lagi. Aku tahu, kala ini jiwa dibelenggu rasa sedih yang menggamit. Dan aku tahu, tika ini jiwa bergelora menahan bermacam rasa. Bila perasaan ini tiba, ku sedar hati sangat merindui mereka. Bahagia sungguh mengenang kenangan lalu. Saat ini, serta merta memori silam menerjah kembali bagai menonton layar perak rasanya. Ya, kenangan yang tidak akan dilupakan. Pasti! Pejam celik, kini aku dah menjangkau ke tahun empat di University Malaya. Aku ingat lagi pertama kali menjejak kaki ke menara gading ini. Sungguh tidak ku sangka, rezeki untuk menyambung belajar rupanya di uni perdana ini. Mungkin juga sebagai kebanggaan bagi kedua ibu bapaku dan keluarga di sabah. Catatan hidupku semakin manis rasanya apabila ditemukan kawan-kawan yang sangat memahamiku..entah kenapa tiba-tiba jari-jari ini laju menaip secoret rasa hati ini, mungkin hanya sebagai lakaran rasa hati yang merindui keluarga di kampung.

to be continue...

_RaYuaN nuRaNi_

dengan segala kekuatan yang dipinjamkan Allah kepada ku, aku akan sentiasa memanjatkan kesyukuran ke hadratNya. kekadang hati dan jiwa terasa sempit dan sesak dek pelbagai masalah dan segala benda terperangkap sehingga kadang-kadang tidak terluah dek kata-kata. jiwa terkadang terasa berat dek tidak tertanggung bebanan hidup walau ia hanya secebis cabaran. mujur aku masih ada tempat bergantung, Tuhanku yang Maha Esa, Allah yang Maha Besar.

kekadang hatiku menangis menahan kesakitan walau ia tidak tampak kelihatan. terkadang, tidak terbendung resah meski ianya terlanjur nampak diwajah. namun, itu lah diri ku, manusia biasa, sukar menyembunyikan hakikat luluh jiwa.. hanya satu pengubat hati..sabar.

aku berusaha berdiri kukuh dalam kalangan beribu manusia, tetap teguh walau ianya payah. apa sebenarnya yang terbungkam, terdampar dilubuk hati mu? hanya aku dan Tuhanku, Allah sahaja yang tahu.. biarlah kesedihan itu pergi bersama perginya angin di waktu petang di tepian pantai..tidak tahu ke mana arah tujunya.

tetapi, itu lah aku, hati kekadang merintih, merana malah membengkak menahan serangan halus memanah jiwaku. makna apakah itu? hanya sabar, sifat indah yang dianugerah Allah mampu menyejuk bahang di hati. mungkin soal hati ini, sukar untuk dimengertikan, payah untuk ditafsirkan bahkan mungkin sentuhan hati sahaja mampu memujuk. ya, mungkin juga begitu.

mungkin aku sering lupa, sering lalai pada yang Satu..atau sengaja melupaiNya..tidak! ku pohon keampunan pada Mu ya Allah, Tuhan yang Maha Pengampun. kekosongan hati, keresahan jiwa perlu makanan zikir pada Sang Pencipta. perlukan buah Taubat pada Nya, perlu hadiah Hidayah dan Taufik Nya.

pada hati yang satu, bersabarlah menempuhi ranjau hidup ini..kuatkan semangatmu, tabahlah dalam langkahmu agar terus menuju jalan yang benar jalan yang diredhai Allah, bukan jalan orang-orang yang sesat.

Wednesday, March 25, 2009

Tip sihat

Apakah maksud kesihatan yang sebenarnya?



mountain climbing salah satu aktiviti yang sangat sesuai bagi mengurangkan lemak tepu dalam badan.


mengamalkan diet seimbang dapat mengurangkan jumlah kolestrol dalam badan.


Pertubuhan Kesihatan Sedunia, mentakrifkan "sihat" bermaksud,"Keadaan sempurna fizikal, mental, dan sosial, dan tidak hanya ketika ketiadaan sakit"

Bagi mana-mana organisma, kesihatan ialah satu bentuk homeostasis. Ini merupakan satu imbangan di mana tenaga dan jisim masuk dan keluar (input and output) berada dalam keseimbangan (membolehkan pertumbuhan). Kesihatan juga membawa erti kemampuan untuk meneruskan hidup dengan prospek positif.

Bagi manusia, dengan kemampuan untuk menganalisa dan menjangka, kesihatan adalah lebih daripada itu. Maknanya bukan sahaja semuanya perlu tepat pada masa yang tepat, tetapi pemahaman subjektif penting bagi meneruskan pengimbangan yang sihat. Pemahaman ini datangnya daripada persepsi somatik termasuk sakit dan tidak selesa dan persepsi kognitif. Untuk merasai sihat, seseorang itu perlu merasakan dirinya sihat dan tiada risiko dalaman atau luaran yang boleh menggangu kesihatannya.

Monday, March 23, 2009

"Amalkan hidup yang sihat"




p/s jogging kat bukit everest..

"ilmu tanpa amal, umpama pokok tanpa buah"


Alhamdulillah, syukur pada Allah. kita masih diberikan nikmat iman dan ihsan Allah. Moga kita tergolong dalam kalangan orang yang bersyukur. Syukur juga, mikroteaching bahasa arab dah selesai tengahari tadi.

Alhamdulillah. saya dan jas kena ngajar Nusus, iaitu ilmu tanpa amal umpama pokok tanpa buah. agak mencabar gak mgajar tajuk ni untuk tingkatan empat. sebagai tambahan, bidang nusus ni sesuai diajar melalui kemahiran membaca (al-Fahmu wal isti'ab). kemahiran ni, kenalah diajar sehingga murid-murid faham tentang misal/ hikam ( perumpamaan) dan penggunaannya dalam ibarat mahupun situasi lain.


Merujuk pada perumpamaan "ilmu tanpa amal, ibarat pokok tanpa buah", bermaksud, ilmu, yang tidak diamalkan, maka tidak mendatangkan manfaat. begitu jugalah, apabila, sepohon pokok yang diharapkan berbuah, tetapi, tidak menghasilkan buah. maka, pokok tersebut, tidak memberikan manfaat kepada kita. ada juga pepatah arab lain yang membawa maksud yang sama, iaitu, "ilmu tanpa amal, umpama awan tanpa hujan". yang mana, kita harapkan turun hujan, tapi, hujan tidak turun jua.


Begitulah perumpamaan bagi sesuatu ilmu, tidak bermanfaat andai tidak beramal dengannya. dalam proses p&p tadi, proses untuk memahamkan murid amat payah dan memerlukan usaha yang lebih. apa pun, rebutlah pengalaman sebanyak mungkin, mutiara ilmu dan perkongsian idea selagi kudrat masih ada dan kurniaan nikmat dari-Nya.

Saturday, March 21, 2009

Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi- jqaf


Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi

Bahagian ini bertujuan memberi penjelasan berkenaan dengan Model Perluasan Bahasa Arab Komunikasi untuk Tahun 1, 2 dan 3 di sekolah-sekolah yang melaksanakan Program j-QAF. Panduan ini menerangkan tentang takrif, matlamat, objektif, strategi pelaksanaan, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta penilaian yang akan digunakan dalam pelaksanaan model ini.

Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi bermaksud pelaksanaan mata pelajaran Bahasa Arab Komunikasi diperluaskan kepada semua murid di sekolah-sekolah yang melaksanakan Program j-QAF. Merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 13/2004: Pelaksanaan Program j-QAF di Sekolah Rendah (KP(85)8591/Jld.XVII(13) bertarikh 30 Disember 2004), “status mata pelajaran ini adalah sebagai mata pelajaran pilihan. Walau bagaimanapun murid (Islam) hendaklah memilih Bahasa Arab Komunikasi sekiranya tidak mengambil mata pelajaran Bahasa Cina Komunikasi atau Bahasa Tamil Komunikasi”. Murid bukan Islam diberi pilihan sama ada ingin mengambil Bahasa Arab Komunikasi atau tidak

Matlamat Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab Komunikasi di peringkat rendah ialah menanam minat mempelajari bahasa Arab bagi menguasai kemahiran berbahasa disamping membolehkan murid berkomunikasi dengan mudah dan betul.

Objektif yang hendak dicapai pada akhir pengajaran dan pembelajaran sekolah rendah ialah murid dapat mendengar bunyi huruf, perkataan dan ayat bahasa Arab serta memahaminya. Selain itu, mereka diharap dapat menyebut dengan betul huruf, perkataan dan ayat Bahasa Arab seterusnya dapat bertutur dalam bahasa Arab berdasarkan situasi tertentu dan memahaminya. Selain itu juga, murid diharap dapat membaca perkataan dan ayat bahasa Arab dengan betul dan memahaminya serta mampu menulis perkataan dan ayat bahasa Arab dengan betul serta memahaminya. Seterusnya dapat menulis petikan berdasarkan situasi tertentu menggunakan ayat-ayat mudah dan memahaminya.

Pelaksanaan Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi bermula pada tahun 2005 melibatkan murid tahun 1 di 1,221 buah sekolah terpilih dan akan diperluaskan ke semua sekolah kebangsaan seluruh negara menjelang 2010.

Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan masa sedia ada Bahasa Arab Komunikasi di sekolah kebangsaan iaitu 60 minit seminggu (30 minit x 2 waktu) seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8 Tahun 2002 KP (BS) 8591 Jild XVII (8) bertarikh 1 Oktober 2002 : Penawaran Mata Pelajaran Bahasa Arab Tambahan di Sekolah Kebangsaan (SK). Peruntukan masa ini mestilah berada di dalam jadual waktu rasmi persekolahan.

Model ini dilaksanakan berpandukan kepada sepuluh unit atau topik yang terkandung dalam Pakej Buku Teks Bahasa Arab Komunikasi Tahun 1,2 dan 3 Edisi 2004. Penerbitan pakej buku ini terdiri daripada Buku Teks, Buku Latihan dan Aktiviti Murid serta Buku Panduan Guru yang dibina berdasarkan Sukatan Pelajaran Bahasa Arab Komunikasi dan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Arab Komunikasi Tahun 1, 2 dan 3.

Pelaksanaan setiap unit atau topik mencakupi aktiviti-aktiviti yang terkandung dalam Buku Teks dan Buku Latihan serta aktiviti murid mengikut agihan masa yang telah ditetapkan iaitu bagi aktiviti 1, diperuntukkan dua waktu iaitu selama 60 minit, aktiviti 2 hingga aktiviti 6 serta aktiviti pengukuhan dan pengayaan masing-masing diperuntukkan satu waktu iaitu selama 30 minit.

Guru Bahasa Arab hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan kadar satu unit atau topik untuk satu bulan. Bagi membantu mencapai objektif dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, guru-guru disarankan menggunakan bahan-bahan seperti kad imbasan dan CD dan VCD yang dibekalkan ke sekolah-sekolah.

Berdasarkan teori-teori pemerolehan dan pembelajaran bahasa terdapat pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab Komunikasi boleh dilaksanakan di sekolah. Namun begitu, pendekatan komunikatif dicadangkan untuk dilaksanakan di sekolah kerana sifat dan tujuan bahasa Arab itu sendiri ialah untuk berkomunikasi. Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab Komunikasi dijalankan menggunakan kaedah-kaedah seperti Kaedah Tematik, Kaedah Ajuk-Hafaz, Kaedah Semula Jadi atau Kaedah Terus, Kaedah Latih Tubi dan Kaedah Eklektik.

Penilaian pula adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu hasil pembelajaran dan objektif pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlu dijalankan secara berterusan bermula dari tahun 1 sehingga tahun 3. Guru perlu menjalankan tiga penilaian iaitu penilaian sikap, penilaian lisan dan penilaian tulisan. Walaubagaimanapun penilaian yang perlu dilaporkan kepada JAPIM untuk tahap satu iaitu Tahun 1 hingga Tahun 3,
ialah penilaian lisan sahaja. Penilaian Bahasa Arab Komunikasi di peringkat sekolah dilaksanakan mengikut format Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR).

Prinsip-prinsip bagi Penilaian Kendalian Sekolah Rendah ialah bersifat formatif iaitu mengesan perkembangan individu secara menyeluruh dari aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani, bersistematik dan berterusan, menggunakan pelbagai kaedah seperti pemerhatian, lisan dan penulisan, berasaskan kriteria tertentu dan hendaklah dikendalikan oleh guru, seterusnya membolehkan tindakan susulan diambil.

Dengan terlaksananya model perluasan pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi ini dapat mempertingkatkan penguasaan murid-murid dalam kemahiran berbahasa dan penulisan Bahasa Arab serta mampu mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Selain itu, diharapkan semua guru dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran agar dapat menarik minat murid terutama dalam subjek Bahasa Arab Komunikasi ini seterusnya mencapai aspirasi kerajaan dalam pendidikan.

go jqaf go...

Friday, March 20, 2009

Kita PEDULI




Hak Asasi Kanak-Kanak Dan Wanita

Pencemaran ke atas hak asasi kanak-kanak telah berlaku sejak dulu lagi. Pencabulan hak ini berlaku di mana-mana sahaja di seluruh dunia seolah-olah sudah menjadi budaya dan kebiasaan bagi sesetengah masyarakat. Eksploitasi seks, buruh, penjualan dan perdagangan kanak-kanak antara salah laku kejam terhadap kanak-kanak. Sungguhpun begitu, terdapat banyak badan pertubuhan dunia yang bertindak membela nasib kanak-kanak ini seperti ini.

Merungkai hak asasi kanak-kanak, saya ingin membawa pembaca sekalian untuk mengenali kanak-kanak itu sendiri dan apakah hak-hak asasi seorang kanak-kanak. Merujuk kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak atau CRC, kita dapat melihat bahawa takrif kanak-kanak ialah seorang yang dibawah umur 18 tahun, melainkan jika undang-undang negaranya mengiktiraf umur dewasanya sebelum itu. Semua hak adalah terpakai bagi kanak-kanak tanpa pengecualian dan hal ini adalah menjadi kewajipan bagi sesebuah negara untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk diskriminasi dan juga hendaklah berusaha mengambil sebarang tindakan yang positif demi memajukan hak mereka.

Segala tindakan berkenaan dengan kanak-kanak hendaklah mengambil kira sepenuhnya kepentingan terbaik kanak-kanak itu. Sesebuah negara hendaklah memberikan kanak-kanak itu jagaan yang mencukupi apabila ibu bapa atau orang lain yang dipertanggungjawabkan dengan tanggungjawab itu, gagal untuk berbuat demikian. Menepati kehendak konvensyen ini, sesebuah negara hendaklah melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk penganiayaan seperti keganasan fizikal atau mental, kecederaan atau penderaan, pengabaian atau pelakuan cuai, penganiayaan atau eksploitasi, termasuk penderaan seksual, yang dilakukan oleh ibu bapa atau orang lain yang bertanggungjawab bagi jagaan kanak-kanak itu dan mewujudkan program sosial yang sesuai bagi pencegahan penganiayaan dan rawatan mangsa.

Begitu juga halnya terhadap kanak-kanak kurang upaya, tiada sebarang diskriminasi yang dikenakan ke atas mereka. Mereka mestilah mendapat akses yang berkesan terhadap pendidikan, latihan, perkhidmatan jagaan kesihatan, perkhidmatan pemulihan, persediaan untuk bekerja dan peluang rekreasi mengikut cara yang sesuai kepada pencapaian kanak-kanak itu, intergrasi sosial dan perkembangan individu, termasuk perkembangan kebudayaan dan kerohanian.

Seterusnya, kanak-kanak mempunyai hak kepada standard kesihatan yang paling tinggi dan penjagaan perubatan yang boleh dicapai. Sesebuah negara hendaklah meletakkan penekanan khas kepada penyediaan rawatan kesihatan yang utama melalui pencegahan, pendidikan kesihatan awam dan pengurangan kematian bayi. Mereka hendaklah menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam hal ini dan berusaha untuk memastikan bahawa tiada kanak-kanak yang dilucutkan hak akses kepada perkhidmatan kesihatan yang efektif.

Menurut perkara 32 dalam konvensyen tersebut, yang merujuk kepada merujuk kepada buruh kanak-kanak yang mana, mereka mempunyai hak untuk dilindungi daripada pekerjaan yang mengancam kesihatan, pendidikan atau perkembangannya. Sesebuah negara hendaklah menetapkan umur minimum bagi pekerjaan dan mengawal selia keadaan kerja. Berdasar statistik,di Afrika Selatan terdapat lebih kurang dua juta kanak-kanak bekerja sebagai orang gaji, manakala di Brazil seramai 559 ribu orang dan Pakistan 265 ribu orang kanak-kanak .Jakarta, Indonesia pula mencatatkan 700 ribu kanak-kanak dikesan bekerja hanya di kota sahaja, manakala Dhaka, Bangladesh seramai 300 ribu orang dan di Lima, Peru seramai 150 ribu orang. Selain itu, di China pula, kanak-kanak perempuan turut dipaksa bekerja sekurang-kurang 18 jam sehari mengangkat batu bata di bawah panas terik. Manakala di Amerika Latin, Asia dan Afrika Selatan kanak-kanak didapati bekerja sebagai orang suruhan oleh individu-individu tertentu.

Satu isu yang agak besar ialah pengeksploitasian seks terhadap kanak-kanak. Sesebuah negara hendaklah melindungi kanak-kanak daripada pengeksploitasian dan penderaan seksual, termasuk pelacuran dan penglibatan dalam pornografi. Dalam negara kita sendiri, telah banyak berlaku kes-kes yang membabitkan kanak-kanak termasuklah mangsa rogol dan bunuh May Hong, Audrey Melissa dan Nurin Jazlin.
Begitu juga kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Malaysia berjumlah 1800 pada tahun 2005. Kes Kanak-kanak yang Memerlukan Perlindungan dan Pemulihan, berjumlah 272 pada tahun 2005. Bilangan Penghuni Rumah Kanak-kanak (RKK) berjumlah 548 (lelaki) dan 627 (perempuan ) pada tahun 2006. Di Australia pula iaitu di New South Wales kadar penderaan fizikal adalah tertinggi, manakala di Victoria, kadar penderaan emosi tertinggi, dan di Western Australia, South Australia dan Queensland kadar pengabaian kanak-kanak tertinggi.

Hak Asasi Wanita

Wanita adalah makhluk Allah SWT yang dicipta dengan fitrahnya yang tersendiri. Kaum hawa ini berbeza dengan lelaki bukan saja dari segi fizikal tetapi dari segi emosi. Islam sentiasa memuliakan wanita dan memberi wanita kedudukan yang tinggi. Di zaman jahiliah, wanita dijadikan alat memuaskan nafsu lelaki dan sebagai barang yang boleh dimiliki sahaja. Mereka tiada hak dan kedudukan malah tidak boleh memiliki harta dan sebagainya.

Merujuk kepada hak asasi wanita, yang juga sama seperti hak asasi kanak-kanak, pencabulan ini sudah pun berlaku sejak dulu lagi yang meliputi keganasan terhadap wanita iaitu perbuatan yang menganiayai wanita dan kanak-kanak dalam pelbagai cara, semata-mata kerana wanita tersebut dianggap sebagai tidak mempunyai taraf yang sama dengan seorang lelaki. Keganasan Terhadap Wanita meliputi semua bangsa, agama, pendapatan, kelas dan budaya. Ianya juga sudah tertanam dalam semua budaya sehinggakan berjuta-juta wanita menganggapnya sebagai satu cara hidup mereka.

Terdapat beberapa kategori utama keganasan terhadap wanita termasuklah Penderaan Psikologi dan Emosi. Ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita boleh meninggalkan kesan buruk sama seperti penderaan fizikal kerana ianya boleh membahayakan nilai harga diri dan perasaan wanita dan keupayaan beliau mengawal kehidupan sendiri. Seterusnya penderaan fizikal seperti memukul, menumbuk, menampar, menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang, membaling barang dan menggunakan senjata. Menghalang keperluan manusia seperti makan, minum, tidur dan juga tempat perlindungan adalah juga merupakan salah satu bentuk penderaan fizikal.
Selain itu, memaksa melakukan atau melihat sesuatu berbentuk seksual tanpa kemahuan wanita tersebut atau menyakiti wanita ketika melakukan hubungan boleh dikategorikan sebagai Penderaan Seksual. Begitu juga Penderaan Sosial yang mana penderaan berbentuk ini sering berlaku di dalam rumah di mana wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan dari mendapat sokongan luar. Seterusnya, Penderaan Kewangan iaitu seorang wanita yang dihalang dari mencari pekerjaan atau yang tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri. Tanpa kawalan terhadap kedudukan kewangannya akan menyebabkan seorang wanita bergantung sepenuhnya kepada tindakan orang lain untuk mendapatkan walaupun keperluan asas beliau.

Terdapat tiga bentuk keganasan terhadap wanita iaitu Gangguan Seksual, Perkosaan dan Keganasan Seksual dan Keganasan Rumahtangga. Di negara kita sendiri, terdapat banyak kes-kes yang melibatkan keganasan terhadap kaum wanita. Noor Suzaily Mukhtar, mangsa rogol dan bunuh pada 7 Oktober 2000 manakala, Rubiah Togi, 22 mac 2001, adalah mangsa gangguan seksual. Bagi kes-kes yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman pada tahun 2007, Keganasan Rumahtangga sebanyak 40%, Rogol 33%, mencabul kehormatan 24%, Gangguan Seksual 2% dan Bunuh 1%.
Di United States pula, Kes bunuh pada tahun 2005, sebanyak 1181 orang wanita dibunuh oleh pasangan iaitu puratanya 3 orang wanita di bunuh setiap hari. Keganasan rumahtangga sebanyak 4.8 juta kes melibatkan penderaan fizikal dan rogol oleh pasangan. Keganasan seksual yang dilaporkan pada 2006, sejumlah 232,960 wanita terlibat dalam serangan seksual iaitu puratanya lebih dari 600 orang setiap hari. Di Pakistan pula, terdapat kes wanita dirogol atas hukuman jenayah yang dilakukan oleh abang sendiri dan di Ghana, Adelaide Abankwah melarikan diri dari Ghana kerana takut menghadapi mutilasi alat kelamin perempuannya.

Perincian dan penelitian berkenaan hak asasi kanak-kanak dan wanita di atas adalah sebahagian kecil daripada himpunan hak-hak asasi manusia yang perlu diambil peduli oleh semua manusia di muka bumi ini. Kita saling perlu memerlukan antara satu sama lain untuk menikmati kebebasan dan kehidupan yang aman bahagia tanpa persengketaan dan peperangan. Ketahuilah bahawa setiap manusia berhak untuk hidup dengan aman di muka bumi ini.

manisnya ukhuwuah bila dapat di kongsi bersama

Wednesday, March 18, 2009

adik2 ku sayang

mana sensitiviti kita???

Fakta kes dan statistik (HAK ASASI KANAK-KANAK)
Malaysia
Rogol/ Bunuh : May Hong, Audrey Melissa dan Nurin Jazlin dll.
Kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Malaysia berjumlah 1800 pada tahun 2005.
Kes Kanak-kanak yang Memerlukan Perlindungan dan Pemulihan, berjumlah 272 pada tahun 2005
Bilangan Penghuni Rumah Kanak-kanak (RKK) berjumlah 548 (lelaki) dan 627 (perempuan ) pada tahun 2006

Australia
New South Wales : kadar penderaan fizikal tertinggi.
Victoria : penderaan emosi
Western Australia, South Australia dan Queensland : kadar pengabaian kanak-kanak tertinggi.

Buruh kanak-kanak
Afrika Selatan : lebih kurang dua juta kanak-kanak bekerja sebagai orang gaji,
Brazil : 559k, manakala
Pakistan : 265k.
Jakarta, Indonesia : 700k kanak-kanak dikesan bekerja hanya di kota sahaja,
Dhaka, Bangladesh : 300k.
Lima, Peru : 150k.
China : kanak-kanak perempuan turut dipaksa bekerja sekurang-kurang 18jam sehari mengangkat batu bata di bawah panas terik.
Amerika Latin, Asia dan Afrika Selatan : bekerja sebagai orang-orang suruhan.

benarlah...hidup itu satu perjuangan yang hebat

my soul

Biarkan kerinduan di lautan memori
Mengimbau kenangan indah yang mengetuk emosi


assalamualaikum semua...rasanya dh lama x update blog ni kan.apa pun, diharap semua sihat. pada roomate, gta, hep beday to you..moga panjang umur murah rezeki, success selalu.. 2,3 minggu ni, agak sibuk skt, coz nak setelkan assignment..ni pun da 3 minggu akhir be4 exam..

semalam saya present RP mikroteaching, so far so ok la..tp ada gak teguran2 membina dan kdg2 mengundang resah di jiwa..ehem..ape pun, untuk sahabat yang sorang tu, semoga Allah merahmati mu..ameen..

sahabat yang lain, thanks 4 your support..

hidup tidak selalunya indah..betul tak?

Friday, March 13, 2009

Dilema Wanita

Darilah tersungkur dicedera rindu, Biarlah ku hancur dimamah cinta, Harum kau hawa bagai harum syurga,Memungkinkan sekalung doa mustajab-muadz

Lekas jari jemari ini menekan kekunci computer riba ini, apa tidaknya, saya baru sahaja menonton iklan pengurusan badan. Mungkin perkara biasa bagi para pembaca, tetapi tidak pada saya. Kenapa? Ini kerana, masalah kegemukan atau pun perasan gemuk dalam kalangan masyarakat kita, khususnya kaum hawa, pasti mencetus kesan yang mendalam terutamanya dari aspek emosi. Ramai wanita merasakan kurang keselesaan apabila berada di tengah masyarakat ekoran kurang keyakinan dengan penampilan diri dan keadaan fizikal yang agak berisi atau gemuk!

Apa yang saya ingin lontarkan disini hanyalah luahan rasa syukur kepada Allah swt kerana mengurniakan fizikal yang sederhana walau pada hakikat, saya juga tergolong dalam kalangan wanita yang berbadan gempal. Saya berusaha memotivasikan diri sendiri agar sentiasa bersyukur dengan bentuk badan sebegini. Isunya di sini, saya mengharapkan kepada para wanita di luar sana, yang juga mengalami nasib yang sama, jangan lupa, setiap manusia ada kelebihan masing-masing. Walaupun keadaan fizikal kita agak berisi, sehingga apabila berjumpa dengan kawan-kawan, mereka mengata bermacam-macam, itu dan ini,itu tidak bermakna, kita menerima sahaja. Yakinlah bahawa, kemungkinan kita lebih baik berbanding mereka. Jangan merendah diri, tetapi tunjukkan kita juga mampu melakukan apa sahaja dan mampu Berjaya seperti orang lain.

Sebenarnya, beberapa hari lalu, saya berkenalan dengan seorang wanita. Kami belajar dalam satu kelas jahitan di UM. Saya kagum dengan wanita ini, sedangkan badannya lebih gempal dari biasa, tetapi dia rela menjadi cotoh saiz baju yang besar tanpa rasa malu malah yakin dengan dirinya..saiz fizikal bukanlah pengukur mutlak kepada penampilan seseorang. Walaupun kadangkala, factor ini membawa kepada masalah kurang keyakinan diri, kemurungan mahupun sering memencil diri, namun hakikatnya, saiz fizikal yang agak besar mempunyai keunikkan yang tersendiri. Contoh terdekat yang saya dapat berikan bila mana seorang daripada anak sedara saya yang juga memiliki saiz badan yang besar dan boleh dikatakan gemuk, saya tetap mengkaguminya kerana dia tidak pernah menunjukkan rasa kurang selesa dengan bentuk fizikalnya, malah sentiasa bersyukur dan merasakan dirinya tidak gemuk. Sentiasa memotivasikan diri dan menerima keadaan dirinya.

Ada seorang kawan yang juga berbadan besar, selalu mengamalkan diet, tetapi mahu sahaja mencari jalan pintas untuk menguruskan badan dan tidak sabar untuk capai hasil. Sikap sebegini juga, tidak boleh diamalkan..akhirnya, kawan ini tidak Berjaya mencapai targetnya..

Itulah ragam manusia, tidak pernah puas dan bersyukur dengan apa yang ada. Kesimpulannya, sentiasalah bersyukur kepada Allah S.W.T atas segala nikmat yang dikurniakan Nya.

kisah tercipta

Benarlah apa yang telah di kata, penantian itu satu penyeksaan, kepastian.. membunuh kerisauan, ketabahan mendamai keresahan..

buat sahabat semua, agak lama juga tak update blog ni kan..buat peminat2 di luar sana, semoga Maulidur Rasul yang lepas memberi pengajaran kepada kita semua. beberapa hari lepas agak bz gak, coz nak siapkan assignment multimedia..kena buat movie maker kempen kesedaran agama..nanti bleh la tgk kt u-tube..task_02_ieb050149 (KEMPEN BERBAKTI KEPADA IBU BAPA).

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, kerana dapat gak siapkan keje tu..thanks member kt RB terutama kat Shila, coz byk sabar malam kena buka lampu..tapi pasni banyak lagi assignment multimedia nak wat..

khamis lepas, saya dah present Pendidikan Global..memang global btul la..tau sebab apa? kena cari bahan yang betul2 menyentuh seisi alam, pasal Hak Asasi Manusia..Hak yang dimiliki oleh sume orang..hak untuk hidup dengan bahagia, hak untuk bersuara, bersosial, hak untuk dapat pendidikan, hak untuk akses keperluan hidup dan banyak lagi. thanks kat group saya, banyak beri komitmen..Kak Na, Ina, Kinit dan Nik Affendy..tp jgn lupa, kita kena wat repot ya, dan buat artikel pasal GOOD GOVERNENCE..syukran kat Ust. rahimi, banyak bagi tunjuk ajar..

Betul lah kata orang..hidup itu perjuangan yang sangat hebat bila mana kita sendiri memilih untuk menjadikannya HEBAT!!!

Saturday, March 7, 2009

tasyjii'

selamanya syukur di panjatkan kepada Allah Tuhan pencipta alam.hidup adalah perjuangan yang hebat, maka untuk mengisi kehidupan dengan islam pasti lebih hebat dan mencabar. perkongsian pengalaman yang hijau menyerlahkan kematangan hidup manusia bergelar mahasiswa islam. aqal fikir segera mengerah idea baru yang pastilah akan mampu di realisasikan. pelabuhan tirai tabir sebuah sesi kepimpinan dan diganti dengan tampuk pemerintahan yang baru yang juga penerus mata-mata rantai perjuangan islam, tidak akan memadam roh semangat perjuangan menentang kemungkaran dan meyeru kebaikan dalam hati-hati para pejuang. kita akan sentiasa bergerak menegakkan kedaulatan islam di mana bumi di pijak..TAKBIR! ALLAHUAKBAR!

Monday, March 2, 2009

Hapuskan PPSMI

Menolak usaha meneruskan PPSMI
Written by Super Admin
Friday, 12 September 2008 00:00
MENOLAK USAHA MENERUSKAN PELAKSANAAN PENGAJARAN SAINS, MATEMATIK DAN TEKNOLOGI DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DI PERINGKAT SEKOLAH HINGGA IPT
(12 SEPTEMBER 2008 / 12 RAMADHAN 1429H)

1. Pengendalian Persidangan Meja Bulat anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang cuba mendapatkan pandangan tentang PPSMI telah dilaksanakan secara “tidak adil” dan “laporannya” dalam akhbar juga “mengelirukan”. Tiga daripada lima orang pembentang bukannya berbicara tentang PPSMI tetapi tentang kepentingan menguasai bahasa Inggeris yang tidak pun dinafikan oleh kami. Kami bimbang akan kemunculan watak-watak “pembesar” seperti dalam cerita “Maharaja dengan Baju Barunya” yang hanya mengiyakan bahawa baju raja cantik walaupun raja sebenarnya tidak berbaju. Lagipun semasa hendak mengubah ke bahasa Inggeris dahulu tiada meja bulat pun dan tidak pun ditimbulkan tentang kesan ekonomi perbukuan bahasa Melayu. Apakah meja bulat ini hanya untuk mengaburi mata orang ramai saja kerana pengerusinya tidak dapat membuat kesimpulan secara objektif dan tepat. (Contoh pertemuan 27 Ogos 2008 yang lalu – rujuk The Star dan Utusan Malaysia 28.8.08 dan catatan wakil ASASI di www.prihatin.net).

2. Bagaimana pemimpin kerajaan boleh mempertahankan tindakan yang terang-terang melanggar Akta? Tindakan ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Kononnya dua mata pelajaran tetapi ternyata kini bahawa sebenarnya lebih 80% kursus di sekolah menengah dan IPT telah diajar dalam bahasa Inggeris. Ini adalah benar dan bukannya andaian palsu. Apabila ini sudah berlaku maka Akta mungkin akan dipinda atas alasan fait accompli dan hancurlah bahasa Melayu. Soalan “adakah kita mahu meneruskan PPSMI atau tidak” sebenarnya samalah maknanya dengan soalan “adakah kita mahu meneruskan usaha menghancurkan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi?” (rujuk Siri Bicara Bahasa Bil.15, 2002 terbitan PLM & DBP). Kami sedia berdebat tentang kehancuran bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.

3. Kajian yang “lebih” jujur dan tidak berkepentingan oleh pelbagai pihak termasuk oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kajian Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin di bawah payung UKM-DBP misalnya menunjukkan mereka yang di bandar dan mereka yang dari keluarga yang berpendapatan tinggi mendapat manfaat dari PPSMI manakala majoriti pelajar luar bandar lebih terdera. Dengan PPSMI jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar. Yang menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu kerana mereka kira-kira 70% penduduk luar bandar dan ini amat tidak adil kerana mereka dinafikan pendidikan berkualiti.

4. Tujuan seluruh usaha ini ialah untuk meningkatkan penguasaan BI pelajar. Tetapi ini telah dilakukandengan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi. Penyelesaian ini seperti kata pepatah Melayu, lain yang luka lain yang dibebat. Tidak pernah dibuktikan di mana-mana di dunia, mengajar sains dan matematik boleh meningkatkan penguasaan bahasa. Pelaksanaan PPSMI di negara bekas jajahan British di Afrika dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Perancis di negara bekas jajahan Perancis di Afrika tidakpun memajukan negara tersebut, malah tinggal mundur dan miskin walaupun bahasa negara termaju digunakan. Hanya Amerika Syarikat, Britain, Australia dan New Zealand wajar melaksanakan PPSMI.

5. Kemungkinan besar tindakan ini untuk menutup kegagalan Kementerian dalam usaha mencari kaedah yang sesuai untuk mengajar bahasa Inggeris. Tegasnya Kementerian mestilah mencari kaedah mengajar bahasa Inggeris yang sesuai dan berkesan.

6. Kerajaan mestilah belajar dari pengalaman. Dalam tahun 60-an Kerajaan telah “mengusir” keluar tulisan jawi daripada bilik darjah. Akibatnya 40 tahun kemudian akhbar tulisan jawi menjadi tidak lagi berdaya maju, menjadi sisipan saja kepada akhbar tulisan rumi. Sekarang kerajaan sekali lagi “mengusir” keluar bahasa Melayu daripada bilik darjah “sains dan teknologi”. Kemungkinan besar 40 tahun lagi akhbar berbahasa Melayu tidak akan berdaya maju dan akan menjadi sisipan saja kepada akhbar Inggeris dan Mandarin. Pada waktu itu bahasa Melayu bukan lagi bahasa ilmu dan budaya tinggi. Sejarah akan mendera kita lagi.

7. Gesaan kami agar pihak berkuasa mengembalikan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang telah berjaya dan dipersetujui bersama-sama. Kembalikanlah kewibawaan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini sebagai penghantar sains, matematik dan teknologi di sekolah rendah, sekolah menengah dan di IPT. Jika pertukaran dilakukan di peringkat sekolah rendah sahaja, dan/atau sehingga di sekolah menengah sahaja, akan hanya merupakan tindakan “melepas batuk di tangga”. Bahasa Melayu tetap hancur di negaranya sendiri. Kesan negatif akibat PPSMI telah melarat-larat dengan keghairahan pemimpin besar dan kecil sehingga menghina dan memperkecil bahasa rasmi/bahasa kebangsaan dalam semua aspek kehidupan di negara ini sebagai bahasa rasmi, ilmu dan perhubungan di negara ini sehingga DBP pun seolah-olah sudah “mati” dan tidak berwibawa lagi.

8. Malaysia bukan England, bukan Amerika, bukan India, bukan Taiwan, bukan Singapura. Malaysia adalah Malaysia yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu yang sejarahnya bermula sejak sebelum kerajaan Melayu Melaka lagi. Kembalikanlah bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara kita seperti sebelum tahun 2003. Kepemimpinan Melalui Teladan. Hormatilah keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara, (Rukun Negara ke-3 dan ke-4).

9. Rancangan untuk menjadikan keputusan UPSR pada tahun ini sebagai salah satu penentu penerusan PPSMI juga amat tidak logik dan membelakangi ilmu perancangan pendidikan. Bahasa Melayu tetap hancur dan musnah akibat PPSMI, keputusan dan angka juga boleh berubah-ubah dan soalan juga masih dwibahasa.

DENGAN INI KAMI BADAN-BADAN BUKAN KERAJAAN YANG BERIKUT (SEBAHAGIAN BESARNYA MEMANG MEMBANTAH PPSMI SEJAK URA-URA HENDAK DILAKSANAKAN PADA TAHUN 1996 DAHULU LAGI (LIHAT ASRAF, MANIFESTO BUDAYA PUPUS BAHASA PUPUSLAH BANGSA, 1996, PLM:KL DAN BUKU MENGAPA KAMI BANTAH SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS, ABDULLAH HASSAN, PTM:KL) MENDESAK LAGI SEKALI SUPAYA PPSMI YANG DILAKSANAKAN SEKARANG INI DIBERHENTIKAN SERTA-MERTA DAN KEMBALI KEPADA DASAR SEBELUM 2003.


1) KUMPULAN PRIHATIN
2) PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA (PLM)
3) ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
4) AKADEMI SAINS ISLAM MALAYSIA (ASASI)
5) MAJLIS PROFESOR SAINS DAN TEKNOLOGI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
6) WADAH PENCERDASAN UMAT (WADAH)
7) PERSATUAN PENTERJEMAH MALAYSIA (PPM)
8) PERS.KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
9) INSTITUT ALAM TAMADUN MELAYU,UKM (ATMA)
10) PERS. PENULIS NASIONAL (PENA)
11) PERS.EKSEKUTIF & USAHAWAN BUMIPUTERA MALAYSIA (PESUMA)
12) PERS.BEKAS PELAJAR ITM (PBP-ITM)
13) PERS.SULUH BUDIMAN (PSB)
14) PERS.MAHASISWA ISLAM TIMUR TENGAH (PBMTT)
15) PERS. PENGAJIAN MELAYU MALAYSIA (PPMM)
16) PERS. SENIMAN MALAYSIA (SENIMAN)
17) GABUNGAN PERS.PENULIS NASIONAL MALAYSIA (GAPENA)
18) TERAS PENGUPAYAAN MELAYU (TERAS)
19) GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS)
20) PERT.TINDAKAN WANITA ISLAM (PERTIWI)
21) PERS.ALUMNI SEKOLAH ALAM SHAH (PASAS)
22) KESATUAN SEKERJA DBP
23) PERSATUAN PENULIS KUALA LUMPUR (KALAM)
24) PERSATUAN PENULIS JOHOR (PPJ)
25) PERSATUAN PENULIS MUAR
26) PERS. ULAMA MALAYSIA PULAU PINANG (PUMPP)
27) GABUNGAN MAHASISWA DARULAMAN (PERSADA)
28) GABUNGAN MAHASISWA BERSATU PERAK (BERSATU)
29) KESATUAN GURU MELAYU MALAYSIA BARAT(KGMMB)
30) PERSATUAN SAINS KEADAAN PEPEJAL (PSKP)
31) PERS.BIOLOGI GUNAAN MALAYSIA
32) PERS.SAINS MATEMATIK MALAYSIA
33) MAJLIS PROFESOR SAINS DAN TEKNOLOGI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
34) KESATUAN PELAJAR ISLAM PERAK (KPIP)
35) KESATUAN PELAJAR ISLAM JOHOR (KPIJ)
36) GAMIS
37) PERSATUAN PENDIDIK INSAN NEGERI SEMBILAN (PPINS)
38) IKATAN PENGKAJIAN ISLAM PAHANG (IKATAN)
39) PERSATUAN KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN DAN SELANGOR
DARUL EHSAN (PEPIAS)
40) PERSATUAN KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ISLAM NEGERI KEDAH (PERSIDA)
41) PERSATUAN KEBAJIKAN ISLAM SARAWAK (PERKEPIS)
42) KESATUAN PELAJAR ISLAM MELAKA (KPIM)
43) PERSATUAN PEMBIMBING PELAJAR ISLAM KELANTAN (PPIK)
44) PERSATUAN PEMBIMBING PELAJAR ISLAM PULAU PINANG (PEMBIMBING)
45) PERSATUAN KEBAJIKAN PELAJAR ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (PPIWP)
46) PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA (PSM)
47) PERSATUAN BAHASA MELAYU UNIVERSITI MALAYA (PBMUM)

Sunday, March 1, 2009

Buatmu Daie


Dengan nama Mu Ya Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani..
Firman Allah
"Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya" surah al-anfal:30.
Wahai sahabatku,nak citernya kat sini, kita tidak lepas dari sebarang dugaan hidup di dunia. walhal dalam perihal kita menuntut ilmu, tentu sahaja terdapat segelintir orang yang tidak berpuas hati dan berhasad dengki terhadap kita. tentu sahaja ramai yang tidak senang dengan kejayaan dan kebahagian yang kita miliki. mengintai ke dalam skop dakwah kita kepada mad'u iaitu orang yang kita ajak kepada Islam, maka tidak mudah untuk memikat dan menarik golongan sebegini kepada Islam. pendekatan atau metod yang digunakan mestilah bersesuaian dengan sasaran kita tadi. sahabat seperjuangan tersayang, kembali kepada firman Allah di atas, ketahuilah bahawa Allah berkuasa keatas para hamba-Nya, berkuasa mematahkan tipu daya golongan yang berbuat kejahatan. maka, yakinlah bahawa Allah adalah tempat mengadu dan pemberi pertolongan. begitulah perkongsian yang saya perolehi dalam majlis ilmu mlm tadi.. seorang pejuang islam yang berani dan tidak takut terhadap sebarang ancaman manusia melainkan takut kepada Nya. persoalan buatmu teman, andai kita di posisi seperti Zainab al-Ghazali, Syed Qutb atau pun pejuang Islam di medan Perang, mampukah kita bertahan dengan iman yang kadang bertambah dan kekadang berkurangan. peringatan buatmu dan diri ku..Wallahu 'Alam.