si comel buah hatiku

si comel buah hatiku

Friday, March 20, 2009

Kita PEDULI




Hak Asasi Kanak-Kanak Dan Wanita

Pencemaran ke atas hak asasi kanak-kanak telah berlaku sejak dulu lagi. Pencabulan hak ini berlaku di mana-mana sahaja di seluruh dunia seolah-olah sudah menjadi budaya dan kebiasaan bagi sesetengah masyarakat. Eksploitasi seks, buruh, penjualan dan perdagangan kanak-kanak antara salah laku kejam terhadap kanak-kanak. Sungguhpun begitu, terdapat banyak badan pertubuhan dunia yang bertindak membela nasib kanak-kanak ini seperti ini.

Merungkai hak asasi kanak-kanak, saya ingin membawa pembaca sekalian untuk mengenali kanak-kanak itu sendiri dan apakah hak-hak asasi seorang kanak-kanak. Merujuk kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak atau CRC, kita dapat melihat bahawa takrif kanak-kanak ialah seorang yang dibawah umur 18 tahun, melainkan jika undang-undang negaranya mengiktiraf umur dewasanya sebelum itu. Semua hak adalah terpakai bagi kanak-kanak tanpa pengecualian dan hal ini adalah menjadi kewajipan bagi sesebuah negara untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk diskriminasi dan juga hendaklah berusaha mengambil sebarang tindakan yang positif demi memajukan hak mereka.

Segala tindakan berkenaan dengan kanak-kanak hendaklah mengambil kira sepenuhnya kepentingan terbaik kanak-kanak itu. Sesebuah negara hendaklah memberikan kanak-kanak itu jagaan yang mencukupi apabila ibu bapa atau orang lain yang dipertanggungjawabkan dengan tanggungjawab itu, gagal untuk berbuat demikian. Menepati kehendak konvensyen ini, sesebuah negara hendaklah melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk penganiayaan seperti keganasan fizikal atau mental, kecederaan atau penderaan, pengabaian atau pelakuan cuai, penganiayaan atau eksploitasi, termasuk penderaan seksual, yang dilakukan oleh ibu bapa atau orang lain yang bertanggungjawab bagi jagaan kanak-kanak itu dan mewujudkan program sosial yang sesuai bagi pencegahan penganiayaan dan rawatan mangsa.

Begitu juga halnya terhadap kanak-kanak kurang upaya, tiada sebarang diskriminasi yang dikenakan ke atas mereka. Mereka mestilah mendapat akses yang berkesan terhadap pendidikan, latihan, perkhidmatan jagaan kesihatan, perkhidmatan pemulihan, persediaan untuk bekerja dan peluang rekreasi mengikut cara yang sesuai kepada pencapaian kanak-kanak itu, intergrasi sosial dan perkembangan individu, termasuk perkembangan kebudayaan dan kerohanian.

Seterusnya, kanak-kanak mempunyai hak kepada standard kesihatan yang paling tinggi dan penjagaan perubatan yang boleh dicapai. Sesebuah negara hendaklah meletakkan penekanan khas kepada penyediaan rawatan kesihatan yang utama melalui pencegahan, pendidikan kesihatan awam dan pengurangan kematian bayi. Mereka hendaklah menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam hal ini dan berusaha untuk memastikan bahawa tiada kanak-kanak yang dilucutkan hak akses kepada perkhidmatan kesihatan yang efektif.

Menurut perkara 32 dalam konvensyen tersebut, yang merujuk kepada merujuk kepada buruh kanak-kanak yang mana, mereka mempunyai hak untuk dilindungi daripada pekerjaan yang mengancam kesihatan, pendidikan atau perkembangannya. Sesebuah negara hendaklah menetapkan umur minimum bagi pekerjaan dan mengawal selia keadaan kerja. Berdasar statistik,di Afrika Selatan terdapat lebih kurang dua juta kanak-kanak bekerja sebagai orang gaji, manakala di Brazil seramai 559 ribu orang dan Pakistan 265 ribu orang kanak-kanak .Jakarta, Indonesia pula mencatatkan 700 ribu kanak-kanak dikesan bekerja hanya di kota sahaja, manakala Dhaka, Bangladesh seramai 300 ribu orang dan di Lima, Peru seramai 150 ribu orang. Selain itu, di China pula, kanak-kanak perempuan turut dipaksa bekerja sekurang-kurang 18 jam sehari mengangkat batu bata di bawah panas terik. Manakala di Amerika Latin, Asia dan Afrika Selatan kanak-kanak didapati bekerja sebagai orang suruhan oleh individu-individu tertentu.

Satu isu yang agak besar ialah pengeksploitasian seks terhadap kanak-kanak. Sesebuah negara hendaklah melindungi kanak-kanak daripada pengeksploitasian dan penderaan seksual, termasuk pelacuran dan penglibatan dalam pornografi. Dalam negara kita sendiri, telah banyak berlaku kes-kes yang membabitkan kanak-kanak termasuklah mangsa rogol dan bunuh May Hong, Audrey Melissa dan Nurin Jazlin.
Begitu juga kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Malaysia berjumlah 1800 pada tahun 2005. Kes Kanak-kanak yang Memerlukan Perlindungan dan Pemulihan, berjumlah 272 pada tahun 2005. Bilangan Penghuni Rumah Kanak-kanak (RKK) berjumlah 548 (lelaki) dan 627 (perempuan ) pada tahun 2006. Di Australia pula iaitu di New South Wales kadar penderaan fizikal adalah tertinggi, manakala di Victoria, kadar penderaan emosi tertinggi, dan di Western Australia, South Australia dan Queensland kadar pengabaian kanak-kanak tertinggi.

Hak Asasi Wanita

Wanita adalah makhluk Allah SWT yang dicipta dengan fitrahnya yang tersendiri. Kaum hawa ini berbeza dengan lelaki bukan saja dari segi fizikal tetapi dari segi emosi. Islam sentiasa memuliakan wanita dan memberi wanita kedudukan yang tinggi. Di zaman jahiliah, wanita dijadikan alat memuaskan nafsu lelaki dan sebagai barang yang boleh dimiliki sahaja. Mereka tiada hak dan kedudukan malah tidak boleh memiliki harta dan sebagainya.

Merujuk kepada hak asasi wanita, yang juga sama seperti hak asasi kanak-kanak, pencabulan ini sudah pun berlaku sejak dulu lagi yang meliputi keganasan terhadap wanita iaitu perbuatan yang menganiayai wanita dan kanak-kanak dalam pelbagai cara, semata-mata kerana wanita tersebut dianggap sebagai tidak mempunyai taraf yang sama dengan seorang lelaki. Keganasan Terhadap Wanita meliputi semua bangsa, agama, pendapatan, kelas dan budaya. Ianya juga sudah tertanam dalam semua budaya sehinggakan berjuta-juta wanita menganggapnya sebagai satu cara hidup mereka.

Terdapat beberapa kategori utama keganasan terhadap wanita termasuklah Penderaan Psikologi dan Emosi. Ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita boleh meninggalkan kesan buruk sama seperti penderaan fizikal kerana ianya boleh membahayakan nilai harga diri dan perasaan wanita dan keupayaan beliau mengawal kehidupan sendiri. Seterusnya penderaan fizikal seperti memukul, menumbuk, menampar, menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang, membaling barang dan menggunakan senjata. Menghalang keperluan manusia seperti makan, minum, tidur dan juga tempat perlindungan adalah juga merupakan salah satu bentuk penderaan fizikal.
Selain itu, memaksa melakukan atau melihat sesuatu berbentuk seksual tanpa kemahuan wanita tersebut atau menyakiti wanita ketika melakukan hubungan boleh dikategorikan sebagai Penderaan Seksual. Begitu juga Penderaan Sosial yang mana penderaan berbentuk ini sering berlaku di dalam rumah di mana wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan dari mendapat sokongan luar. Seterusnya, Penderaan Kewangan iaitu seorang wanita yang dihalang dari mencari pekerjaan atau yang tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri. Tanpa kawalan terhadap kedudukan kewangannya akan menyebabkan seorang wanita bergantung sepenuhnya kepada tindakan orang lain untuk mendapatkan walaupun keperluan asas beliau.

Terdapat tiga bentuk keganasan terhadap wanita iaitu Gangguan Seksual, Perkosaan dan Keganasan Seksual dan Keganasan Rumahtangga. Di negara kita sendiri, terdapat banyak kes-kes yang melibatkan keganasan terhadap kaum wanita. Noor Suzaily Mukhtar, mangsa rogol dan bunuh pada 7 Oktober 2000 manakala, Rubiah Togi, 22 mac 2001, adalah mangsa gangguan seksual. Bagi kes-kes yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman pada tahun 2007, Keganasan Rumahtangga sebanyak 40%, Rogol 33%, mencabul kehormatan 24%, Gangguan Seksual 2% dan Bunuh 1%.
Di United States pula, Kes bunuh pada tahun 2005, sebanyak 1181 orang wanita dibunuh oleh pasangan iaitu puratanya 3 orang wanita di bunuh setiap hari. Keganasan rumahtangga sebanyak 4.8 juta kes melibatkan penderaan fizikal dan rogol oleh pasangan. Keganasan seksual yang dilaporkan pada 2006, sejumlah 232,960 wanita terlibat dalam serangan seksual iaitu puratanya lebih dari 600 orang setiap hari. Di Pakistan pula, terdapat kes wanita dirogol atas hukuman jenayah yang dilakukan oleh abang sendiri dan di Ghana, Adelaide Abankwah melarikan diri dari Ghana kerana takut menghadapi mutilasi alat kelamin perempuannya.

Perincian dan penelitian berkenaan hak asasi kanak-kanak dan wanita di atas adalah sebahagian kecil daripada himpunan hak-hak asasi manusia yang perlu diambil peduli oleh semua manusia di muka bumi ini. Kita saling perlu memerlukan antara satu sama lain untuk menikmati kebebasan dan kehidupan yang aman bahagia tanpa persengketaan dan peperangan. Ketahuilah bahawa setiap manusia berhak untuk hidup dengan aman di muka bumi ini.

manisnya ukhuwuah bila dapat di kongsi bersama

No comments: