si comel buah hatiku

si comel buah hatiku

Monday, March 2, 2009

Hapuskan PPSMI

Menolak usaha meneruskan PPSMI
Written by Super Admin
Friday, 12 September 2008 00:00
MENOLAK USAHA MENERUSKAN PELAKSANAAN PENGAJARAN SAINS, MATEMATIK DAN TEKNOLOGI DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DI PERINGKAT SEKOLAH HINGGA IPT
(12 SEPTEMBER 2008 / 12 RAMADHAN 1429H)

1. Pengendalian Persidangan Meja Bulat anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang cuba mendapatkan pandangan tentang PPSMI telah dilaksanakan secara “tidak adil” dan “laporannya” dalam akhbar juga “mengelirukan”. Tiga daripada lima orang pembentang bukannya berbicara tentang PPSMI tetapi tentang kepentingan menguasai bahasa Inggeris yang tidak pun dinafikan oleh kami. Kami bimbang akan kemunculan watak-watak “pembesar” seperti dalam cerita “Maharaja dengan Baju Barunya” yang hanya mengiyakan bahawa baju raja cantik walaupun raja sebenarnya tidak berbaju. Lagipun semasa hendak mengubah ke bahasa Inggeris dahulu tiada meja bulat pun dan tidak pun ditimbulkan tentang kesan ekonomi perbukuan bahasa Melayu. Apakah meja bulat ini hanya untuk mengaburi mata orang ramai saja kerana pengerusinya tidak dapat membuat kesimpulan secara objektif dan tepat. (Contoh pertemuan 27 Ogos 2008 yang lalu – rujuk The Star dan Utusan Malaysia 28.8.08 dan catatan wakil ASASI di www.prihatin.net).

2. Bagaimana pemimpin kerajaan boleh mempertahankan tindakan yang terang-terang melanggar Akta? Tindakan ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Kononnya dua mata pelajaran tetapi ternyata kini bahawa sebenarnya lebih 80% kursus di sekolah menengah dan IPT telah diajar dalam bahasa Inggeris. Ini adalah benar dan bukannya andaian palsu. Apabila ini sudah berlaku maka Akta mungkin akan dipinda atas alasan fait accompli dan hancurlah bahasa Melayu. Soalan “adakah kita mahu meneruskan PPSMI atau tidak” sebenarnya samalah maknanya dengan soalan “adakah kita mahu meneruskan usaha menghancurkan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi?” (rujuk Siri Bicara Bahasa Bil.15, 2002 terbitan PLM & DBP). Kami sedia berdebat tentang kehancuran bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.

3. Kajian yang “lebih” jujur dan tidak berkepentingan oleh pelbagai pihak termasuk oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kajian Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin di bawah payung UKM-DBP misalnya menunjukkan mereka yang di bandar dan mereka yang dari keluarga yang berpendapatan tinggi mendapat manfaat dari PPSMI manakala majoriti pelajar luar bandar lebih terdera. Dengan PPSMI jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar. Yang menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu kerana mereka kira-kira 70% penduduk luar bandar dan ini amat tidak adil kerana mereka dinafikan pendidikan berkualiti.

4. Tujuan seluruh usaha ini ialah untuk meningkatkan penguasaan BI pelajar. Tetapi ini telah dilakukandengan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi. Penyelesaian ini seperti kata pepatah Melayu, lain yang luka lain yang dibebat. Tidak pernah dibuktikan di mana-mana di dunia, mengajar sains dan matematik boleh meningkatkan penguasaan bahasa. Pelaksanaan PPSMI di negara bekas jajahan British di Afrika dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Perancis di negara bekas jajahan Perancis di Afrika tidakpun memajukan negara tersebut, malah tinggal mundur dan miskin walaupun bahasa negara termaju digunakan. Hanya Amerika Syarikat, Britain, Australia dan New Zealand wajar melaksanakan PPSMI.

5. Kemungkinan besar tindakan ini untuk menutup kegagalan Kementerian dalam usaha mencari kaedah yang sesuai untuk mengajar bahasa Inggeris. Tegasnya Kementerian mestilah mencari kaedah mengajar bahasa Inggeris yang sesuai dan berkesan.

6. Kerajaan mestilah belajar dari pengalaman. Dalam tahun 60-an Kerajaan telah “mengusir” keluar tulisan jawi daripada bilik darjah. Akibatnya 40 tahun kemudian akhbar tulisan jawi menjadi tidak lagi berdaya maju, menjadi sisipan saja kepada akhbar tulisan rumi. Sekarang kerajaan sekali lagi “mengusir” keluar bahasa Melayu daripada bilik darjah “sains dan teknologi”. Kemungkinan besar 40 tahun lagi akhbar berbahasa Melayu tidak akan berdaya maju dan akan menjadi sisipan saja kepada akhbar Inggeris dan Mandarin. Pada waktu itu bahasa Melayu bukan lagi bahasa ilmu dan budaya tinggi. Sejarah akan mendera kita lagi.

7. Gesaan kami agar pihak berkuasa mengembalikan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang telah berjaya dan dipersetujui bersama-sama. Kembalikanlah kewibawaan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini sebagai penghantar sains, matematik dan teknologi di sekolah rendah, sekolah menengah dan di IPT. Jika pertukaran dilakukan di peringkat sekolah rendah sahaja, dan/atau sehingga di sekolah menengah sahaja, akan hanya merupakan tindakan “melepas batuk di tangga”. Bahasa Melayu tetap hancur di negaranya sendiri. Kesan negatif akibat PPSMI telah melarat-larat dengan keghairahan pemimpin besar dan kecil sehingga menghina dan memperkecil bahasa rasmi/bahasa kebangsaan dalam semua aspek kehidupan di negara ini sebagai bahasa rasmi, ilmu dan perhubungan di negara ini sehingga DBP pun seolah-olah sudah “mati” dan tidak berwibawa lagi.

8. Malaysia bukan England, bukan Amerika, bukan India, bukan Taiwan, bukan Singapura. Malaysia adalah Malaysia yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu yang sejarahnya bermula sejak sebelum kerajaan Melayu Melaka lagi. Kembalikanlah bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara kita seperti sebelum tahun 2003. Kepemimpinan Melalui Teladan. Hormatilah keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara, (Rukun Negara ke-3 dan ke-4).

9. Rancangan untuk menjadikan keputusan UPSR pada tahun ini sebagai salah satu penentu penerusan PPSMI juga amat tidak logik dan membelakangi ilmu perancangan pendidikan. Bahasa Melayu tetap hancur dan musnah akibat PPSMI, keputusan dan angka juga boleh berubah-ubah dan soalan juga masih dwibahasa.

DENGAN INI KAMI BADAN-BADAN BUKAN KERAJAAN YANG BERIKUT (SEBAHAGIAN BESARNYA MEMANG MEMBANTAH PPSMI SEJAK URA-URA HENDAK DILAKSANAKAN PADA TAHUN 1996 DAHULU LAGI (LIHAT ASRAF, MANIFESTO BUDAYA PUPUS BAHASA PUPUSLAH BANGSA, 1996, PLM:KL DAN BUKU MENGAPA KAMI BANTAH SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS, ABDULLAH HASSAN, PTM:KL) MENDESAK LAGI SEKALI SUPAYA PPSMI YANG DILAKSANAKAN SEKARANG INI DIBERHENTIKAN SERTA-MERTA DAN KEMBALI KEPADA DASAR SEBELUM 2003.


1) KUMPULAN PRIHATIN
2) PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA (PLM)
3) ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
4) AKADEMI SAINS ISLAM MALAYSIA (ASASI)
5) MAJLIS PROFESOR SAINS DAN TEKNOLOGI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
6) WADAH PENCERDASAN UMAT (WADAH)
7) PERSATUAN PENTERJEMAH MALAYSIA (PPM)
8) PERS.KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
9) INSTITUT ALAM TAMADUN MELAYU,UKM (ATMA)
10) PERS. PENULIS NASIONAL (PENA)
11) PERS.EKSEKUTIF & USAHAWAN BUMIPUTERA MALAYSIA (PESUMA)
12) PERS.BEKAS PELAJAR ITM (PBP-ITM)
13) PERS.SULUH BUDIMAN (PSB)
14) PERS.MAHASISWA ISLAM TIMUR TENGAH (PBMTT)
15) PERS. PENGAJIAN MELAYU MALAYSIA (PPMM)
16) PERS. SENIMAN MALAYSIA (SENIMAN)
17) GABUNGAN PERS.PENULIS NASIONAL MALAYSIA (GAPENA)
18) TERAS PENGUPAYAAN MELAYU (TERAS)
19) GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS)
20) PERT.TINDAKAN WANITA ISLAM (PERTIWI)
21) PERS.ALUMNI SEKOLAH ALAM SHAH (PASAS)
22) KESATUAN SEKERJA DBP
23) PERSATUAN PENULIS KUALA LUMPUR (KALAM)
24) PERSATUAN PENULIS JOHOR (PPJ)
25) PERSATUAN PENULIS MUAR
26) PERS. ULAMA MALAYSIA PULAU PINANG (PUMPP)
27) GABUNGAN MAHASISWA DARULAMAN (PERSADA)
28) GABUNGAN MAHASISWA BERSATU PERAK (BERSATU)
29) KESATUAN GURU MELAYU MALAYSIA BARAT(KGMMB)
30) PERSATUAN SAINS KEADAAN PEPEJAL (PSKP)
31) PERS.BIOLOGI GUNAAN MALAYSIA
32) PERS.SAINS MATEMATIK MALAYSIA
33) MAJLIS PROFESOR SAINS DAN TEKNOLOGI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
34) KESATUAN PELAJAR ISLAM PERAK (KPIP)
35) KESATUAN PELAJAR ISLAM JOHOR (KPIJ)
36) GAMIS
37) PERSATUAN PENDIDIK INSAN NEGERI SEMBILAN (PPINS)
38) IKATAN PENGKAJIAN ISLAM PAHANG (IKATAN)
39) PERSATUAN KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN DAN SELANGOR
DARUL EHSAN (PEPIAS)
40) PERSATUAN KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ISLAM NEGERI KEDAH (PERSIDA)
41) PERSATUAN KEBAJIKAN ISLAM SARAWAK (PERKEPIS)
42) KESATUAN PELAJAR ISLAM MELAKA (KPIM)
43) PERSATUAN PEMBIMBING PELAJAR ISLAM KELANTAN (PPIK)
44) PERSATUAN PEMBIMBING PELAJAR ISLAM PULAU PINANG (PEMBIMBING)
45) PERSATUAN KEBAJIKAN PELAJAR ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (PPIWP)
46) PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA (PSM)
47) PERSATUAN BAHASA MELAYU UNIVERSITI MALAYA (PBMUM)

No comments: