si comel buah hatiku

si comel buah hatiku

Saturday, March 21, 2009

Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi- jqaf


Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi

Bahagian ini bertujuan memberi penjelasan berkenaan dengan Model Perluasan Bahasa Arab Komunikasi untuk Tahun 1, 2 dan 3 di sekolah-sekolah yang melaksanakan Program j-QAF. Panduan ini menerangkan tentang takrif, matlamat, objektif, strategi pelaksanaan, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta penilaian yang akan digunakan dalam pelaksanaan model ini.

Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi bermaksud pelaksanaan mata pelajaran Bahasa Arab Komunikasi diperluaskan kepada semua murid di sekolah-sekolah yang melaksanakan Program j-QAF. Merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 13/2004: Pelaksanaan Program j-QAF di Sekolah Rendah (KP(85)8591/Jld.XVII(13) bertarikh 30 Disember 2004), “status mata pelajaran ini adalah sebagai mata pelajaran pilihan. Walau bagaimanapun murid (Islam) hendaklah memilih Bahasa Arab Komunikasi sekiranya tidak mengambil mata pelajaran Bahasa Cina Komunikasi atau Bahasa Tamil Komunikasi”. Murid bukan Islam diberi pilihan sama ada ingin mengambil Bahasa Arab Komunikasi atau tidak

Matlamat Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab Komunikasi di peringkat rendah ialah menanam minat mempelajari bahasa Arab bagi menguasai kemahiran berbahasa disamping membolehkan murid berkomunikasi dengan mudah dan betul.

Objektif yang hendak dicapai pada akhir pengajaran dan pembelajaran sekolah rendah ialah murid dapat mendengar bunyi huruf, perkataan dan ayat bahasa Arab serta memahaminya. Selain itu, mereka diharap dapat menyebut dengan betul huruf, perkataan dan ayat Bahasa Arab seterusnya dapat bertutur dalam bahasa Arab berdasarkan situasi tertentu dan memahaminya. Selain itu juga, murid diharap dapat membaca perkataan dan ayat bahasa Arab dengan betul dan memahaminya serta mampu menulis perkataan dan ayat bahasa Arab dengan betul serta memahaminya. Seterusnya dapat menulis petikan berdasarkan situasi tertentu menggunakan ayat-ayat mudah dan memahaminya.

Pelaksanaan Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi bermula pada tahun 2005 melibatkan murid tahun 1 di 1,221 buah sekolah terpilih dan akan diperluaskan ke semua sekolah kebangsaan seluruh negara menjelang 2010.

Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan masa sedia ada Bahasa Arab Komunikasi di sekolah kebangsaan iaitu 60 minit seminggu (30 minit x 2 waktu) seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8 Tahun 2002 KP (BS) 8591 Jild XVII (8) bertarikh 1 Oktober 2002 : Penawaran Mata Pelajaran Bahasa Arab Tambahan di Sekolah Kebangsaan (SK). Peruntukan masa ini mestilah berada di dalam jadual waktu rasmi persekolahan.

Model ini dilaksanakan berpandukan kepada sepuluh unit atau topik yang terkandung dalam Pakej Buku Teks Bahasa Arab Komunikasi Tahun 1,2 dan 3 Edisi 2004. Penerbitan pakej buku ini terdiri daripada Buku Teks, Buku Latihan dan Aktiviti Murid serta Buku Panduan Guru yang dibina berdasarkan Sukatan Pelajaran Bahasa Arab Komunikasi dan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Arab Komunikasi Tahun 1, 2 dan 3.

Pelaksanaan setiap unit atau topik mencakupi aktiviti-aktiviti yang terkandung dalam Buku Teks dan Buku Latihan serta aktiviti murid mengikut agihan masa yang telah ditetapkan iaitu bagi aktiviti 1, diperuntukkan dua waktu iaitu selama 60 minit, aktiviti 2 hingga aktiviti 6 serta aktiviti pengukuhan dan pengayaan masing-masing diperuntukkan satu waktu iaitu selama 30 minit.

Guru Bahasa Arab hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan kadar satu unit atau topik untuk satu bulan. Bagi membantu mencapai objektif dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, guru-guru disarankan menggunakan bahan-bahan seperti kad imbasan dan CD dan VCD yang dibekalkan ke sekolah-sekolah.

Berdasarkan teori-teori pemerolehan dan pembelajaran bahasa terdapat pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab Komunikasi boleh dilaksanakan di sekolah. Namun begitu, pendekatan komunikatif dicadangkan untuk dilaksanakan di sekolah kerana sifat dan tujuan bahasa Arab itu sendiri ialah untuk berkomunikasi. Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab Komunikasi dijalankan menggunakan kaedah-kaedah seperti Kaedah Tematik, Kaedah Ajuk-Hafaz, Kaedah Semula Jadi atau Kaedah Terus, Kaedah Latih Tubi dan Kaedah Eklektik.

Penilaian pula adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu hasil pembelajaran dan objektif pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlu dijalankan secara berterusan bermula dari tahun 1 sehingga tahun 3. Guru perlu menjalankan tiga penilaian iaitu penilaian sikap, penilaian lisan dan penilaian tulisan. Walaubagaimanapun penilaian yang perlu dilaporkan kepada JAPIM untuk tahap satu iaitu Tahun 1 hingga Tahun 3,
ialah penilaian lisan sahaja. Penilaian Bahasa Arab Komunikasi di peringkat sekolah dilaksanakan mengikut format Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR).

Prinsip-prinsip bagi Penilaian Kendalian Sekolah Rendah ialah bersifat formatif iaitu mengesan perkembangan individu secara menyeluruh dari aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani, bersistematik dan berterusan, menggunakan pelbagai kaedah seperti pemerhatian, lisan dan penulisan, berasaskan kriteria tertentu dan hendaklah dikendalikan oleh guru, seterusnya membolehkan tindakan susulan diambil.

Dengan terlaksananya model perluasan pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi ini dapat mempertingkatkan penguasaan murid-murid dalam kemahiran berbahasa dan penulisan Bahasa Arab serta mampu mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Selain itu, diharapkan semua guru dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran agar dapat menarik minat murid terutama dalam subjek Bahasa Arab Komunikasi ini seterusnya mencapai aspirasi kerajaan dalam pendidikan.

go jqaf go...

No comments: